Pages

Wednesday, 8 January 2014

[muhasabah] Apa yang engkau dapat bila buat kerja amal?

Ada orang bertanya dengan saya, "kenapa kau nak susah - susah , buat kerja sukarela macam ni? Apa yang engkau dapat". Soalan itu saya jawab dengan senyum sahaja kerna jawapannya terlampau panjang.

Sebenarnya, banyak yang kita dapat apabila kita ikhlas terlibat dalam kerja - kerja amal. Apabila kita ikhlas, kita akan rasa bahagia. Anda cuba buat satu sahaja perkara kecil tetapi berterusan. Anda pasti akan merasai perbezaannya ke arah yang lebih positif.



Saya ada saudara yang saya kira tidaklah begitu senang. Suaminya bekerja sebagai jaga sekolah sahaja. Dia tidak bekerja dan menguruskan anak seramai 4 orang. Tinggal pula di Kuala Lumpur, memang hidupnya sederhana saja (pada hemat saya, dia tidaklah senang namun bahagia). Namun, apa yang saya kagum, dia sangat suka membantu orang. Terpancar kepuasan diwajahnya jika dapat membantu orang. Ada sekali, anak - anak bujang baru mula bekerja dan menyewa di sebelah rumahnya. Setiap hari, dia akan bantu angkat kain di jemuran jika hari hujan dan melipatnya sekali. Sesekali dia akan menghantar makanan yang sengaja dimasak lebih walaupun dia tidaklah semewah mana. Jika budak - budak bujang ini pulang bercuti, dia akan mengambil tugas menjaga rumah tersebut. Dia menjaga hingga ke tahap membersihkan rumah budak - budak itu. Semuanya dilakukan tanpa bayaran. Katanya, itu sahaja yang dia mampu buat kerana dia tak punya wang lebih untuk bantu orang lain. Saya lihat, hidupnya sangat mudah jalannya walaupun tidak kaya. Ada sahaja orang membantunya dan saya yakin dia bahagia.

Apa guna duit berkepuk - kepuk tetapi hati tidak senang. Jiwa kacau. Perasaan - perasaaan negatif ini selalunya akan menarik perkara yang negatif juga terhadap diri kita. Kita akan rasa terbeban, kecewa, sedih dan mudah mengeluh. Ada sahaja perkara yang tidak kena dengan kita.

Pada saya, perkara pertama yang saya dapat apabila buat kerja amal, hati saya lebih senang dan tenteram. Saya merasa puas dapat membantu orang. Apabila hati senang, semuanya akan terpancar pada tubuh kita. Kita akan lebih sihat mental dan fizikal. Apabila tubuh sihat, semua yang kita rancang selalunya menjadi. Kerja amal ini seperti makanan hati. Kita tidak akan mudah berdendam, sakit hati, cemburu dan hasad dengki kerana kerja amal akan mendidik jiwa menjadi lebih rendah hati. Kita akan sentiasa ingat kita adalah hambaNya.

Oleh itu, jom mulakan kerja amal yang sedikit tetapi berterusan. Tidak perlu wang ringgit yang banyak, cukuplah dengan apa yang kita mampu. Pastinya amalan yang berterusan ini, dirahmati oleh Allah.

Selamat beramal.


No comments:

Post a Comment