Pages

Thursday 27 November 2014

Musim kenduri tiba lagi

Tup..tup..sudah masuk cuti sekolah. Maka bermulalah musim kenduri. Macam - macam jenis kenduri yang ada. Ada kenduri kahwin, kenduri berkhatan, kenduri akikah dan berbagai - bagai lagi. Adat Melayu memang meriah. Semuanya perlu dikendurikan. Amalan bersedekah dan memberi makan itu wajar dipuji. Namun , kini, pabila tiba musim kenduri, saya gundah gulana. Memikirkan pelbagai junk food yang diberi dalam goodies beg @ berkat @ yang seumpamanya. Kalau boleh dikumpulkan pada awal Januari mahu dapt sekotak rasanya.

Adat yang dahulu, kuih - kuih lama seperti kuih karas, bahulu dan bunga telur menjadi pilihan. Ingat lagi, ketika saya pulang ke kampong emak sewaktu zaman kanak - kanak saya, buah tangannya ialah telur ayam rebus dibalut dengan sapu tangan cantik yang diikat kemas. Jika rajin, saya akan terima bunga telur berbagai - bagai rupanya. Atau untuk yang berduit lebih, telur ayam rebus diisi di dalam pembungkus berkilat yang cantik.Ketika itu, ibu dan bapa saya tidak risau berapa biji telur ayam yang saya makan kerana kualiti makanannya.

Namun kini, sejak saya menjadi ibu, kadang - kadang saya lelah menyorokkan makanan junk yang diberi di dalam goodies beg. Jajan, air kotak berperisa, sumi dan pelbagai jelly, makanan ringan pelbagai bentuk hingga tak tercapai akal saya. "Macam ni pun ada". Belum lagi candy yang pelbagai perisa. Mashmallow pelbagai rasa. Mungkin kerana saya adalah 'food technologist' atau 'food scientist' saya sangat cakna kandungan makanan tersebut. Untuk kanak - kanak, ia umpama racun yang boleh dimakan dan tubuh anak itu sebagai bank racun. Kebanyakan makanan ringan yang murah, tentu sekali tinggi garam dan gulanya, ditambah perisa buatan dan pewarna buatan. Belum lagi tambahan yang lain. Bagi air yang berperisa buah macam-macam rasa, cukup sekadar air, asid sitrik dan tambah lah perisa dan pewarna yang selari. Sudahlah makan pun tidak kenyang.

Belum lagi saya sentuh bab halal. Jeli @ sumi yang selalu kedapatan di kenduri kahwin itu, jika tiada logo halal, memang jelas bahan pengelnya dari bahan yang haram. Mashmallow dan candy itu sendiri, manis rasanya, penggalak kerosakan gigi anak - anak. Usai masuk persekolahan, gigi sudah tidak tersusun cantik. Bukan ibu bapa tidak ajar menggosok gigi, ini kerana pemakanan yang melampaui tahap.

Ada orang kata, biarlah sekali sekala. Jika kalau stok yang diterima melebihi sekotak, rasanya ia cukup untuk simpanan setahun.Apakah apabila buah pinggang anak rosak, atau hati sudah rosak, kita mahu berkata apa ketika itu? Jika sedari kecil anak tidak dididik dengan makanan yang baik, makanan yang menyihatkan tubuh, saat dia tiada di depan mata kita, apatah lagi. Mungkin semua dirembatnya. Tidak dipilih lagi yang halal dan yang haram. Apabila ada isu penemuan DNA khinzir dan sebagainya, keluar kenyataan yang kadang - kadang mahu tergelak dibuatnya. Namun hakikatnya, dalam amalan seharian, kita sebenarnya, tidak begitu menjaga apa yang masuk ke dalam tubuh kita. Maka asbab mengambil mudah tentang makanan jugalah , menyebabkan kita menjadi malas untuk beribadat. Makanan itu menjadi darah daging. Istilah you are what you eat, saya rasa sangat relevan.

Jadi saya mohon, pada penganjur kenduri, sedialah makanan yang baik jika berkeinginan untuk memberi pada tetamu. Saya puji sesetengah tuan rumah, ada yang hanya memberi epal sebiji dan bunga telur, ada yang memberi kuih - kuih lama dan pernah juga menerima sepeket biskut krim kraker. Pada saya, itu adalah lebih baik dan mengenyangkan berbanding berbagai jenis jeli dan jajan di dalam sebuah plastic goodies beg.

No comments:

Post a Comment