Pages

Tuesday 19 November 2013

Catatan Perjalanan Hujung Minggu Khaulah dan Anas ke Zoo Negara

Kalau anda tiada idea untuk beriadah pada hujung minggu dengan keluarga, saya cadangkan anda ke Zoo Negara. Sila datang awal pagi bagi mengelakkan kereta anda diparkir jauh dan anda perlu menapak dengan anak - anak kecil. Saya telah lama teringin membawa anak - anak saya ke Zoo Negara namun tidak berkesempatan. Lagipun, ketika itu, anak sulong saya masih kecil. Orang kata tidak mengerti apa - apa. Sekarang Khaulah sudah berumur dua tahun 8 bulan. Semakin petah bercerita dan berkongsi cerita.

Kami tiba di Zoo Negara pada pukul 11 pagi. Agak lewat dari masa jangkaan sepatutnya. Seperti dijangka, kami terpaksa menapak kerana kawasan parkir kereta yang disediakan telah penuh. Zoo yang berusia melebihi 10 tahun ini di kelilingi hutan bandar , namun masih terasa nyaman dengan pokok - pokok yang di tanam.

Bayaran tiket untuk dua orang dewasa ialah sebanyak RM60.00 dan percuma untuk anak - anak saya. Pada saya, bayaran yang dikenakan setimpal dengan pengalaman yang dipelajari oleh anak - anak saya. Saya tidak mahu mereka terkurung dalam dunia maya yang serba canggih namun boleh mengurangkan daya imaginasi mereka. Sehingga sekarang, saya masih bertahan untuk tidak membelikan mereka gajet - gajet yang tidak perlu untuk usia mereka. Saya lebih gemar mereka menikmati alam di sekeliling mereka dan mampu berinteraksi sesama manusia. Adalah biasa , kalau mereka tidak menonton tv di rumah sepanjang cuti hujung minggu dan saya biarkan mereka bermain dan menyepahkan rumah.:).

Setelah melewati pintu masuk, Khaulah sudah teruja. Kami memilih menaiki trem dengan bayaran RM2.00. Penerangan yang bermaklumat oleh pemandu trem mengagumkan saya. Lancar saja.Mungkin sudah dipraktikkan sekian lama.


Khaulah memang seronok dapat naik trem


Perjalanan menaiki trem hanya seketika dan perhentiannya berdekatan dengan kawasan Pak Belang. Memang Khaulah dan Anas sangat teruja. Menjerit - jerit melihat haiwan - haiwan yang selama ini dilihat di kaca tv dan buku.

"imau" bersantai setelah dijamu daging segar


Melewati kandang Pak Belang , Khaulah dan Anas bertemu dengan haiwan - haiwan kegemarannya.

"embuu yang nampak sedikit garang"

kawanan "iffah" di zoo hutan bandar


Berhenti rehat untuk menikmati "candy mahal" hasil pujuk rayu Khaulah dengan abah. Akhirnya "candy" itu terbuang begitu saja kerana ia bukan makanan kebiasaan Khaulah.





Jadi , pastikan Zoo Negara berada dalam senarai aktiviti hujung minggu anda dalam  membantu perkembangan si manja. Bagi golongan remaja dan orang awam, Zoo Negara menawarkan program sukarelawan zoo yang saya rasa pasti menyeronokkan.

Bawa anak anda menikmati suasana alam yang pastinya secara tidak langsung kita turut beriadah sama. Penat juga abah Khaulah mengikut Khaulah yang teruja ke sana ke mari. Zoo adalah tempat pembelajaran yang sesuai dengan konsep "bermain sambil belajar". Biar EQ nya juga berkembang.

Pada hemat saya , Anas lebih berani mendekati haiwan berbanding kakaknya dan dia tahu bagaimana untuk membelai haiwan. Sangat mengujakan melihat perkembangan positif anak - anak setelah sekian lama bekerja setiap hari. Aura positif itu juga sampai kepada saya. Pada malamnya, Khaulah dan Anas, tidur awal dan nyenyak tidur dek  keletihan memberi ruang kepada mamanya untuk membaca. Satu hobi yang tak mungkin dapat dilakukan jika anak - anak berjaga.

Jom ke Zoo Negara!

p/s : Jangan melewati kawasan jualan makanan ringan, kerana anda pasti mengalami nasib yang sama seperti saya. Membeli candy yang berharga RM7.00 yang tidak mempunyai impak kesihatan yang baik hasil tangisan dan pujukan anak.

No comments:

Post a Comment