Namun, banjir besar kali ini mampu membanjirkan kolam air mata saya. Sayu melihat suasana seperti di langgar garuda. Semuanya berlaku dengan cepat. Kuasa Tuhan yang boleh melakukan sesuatu dan dalam masa yang sama memberi peringatan kepada yang lain. Mungkin bencana ini, saya mendapat 'update' yang paling terkini lantaran ada ahli keluarga yang bekerja sebagai Pegawai Metereologi. Mungkin juga kerana 'update' siaran langsung tanpa tapisan daripada adik saya yang menjadi sukarelawan di Kuantan kerana dia menetap di Kuantan.
Banjir ini mengajar saya menghargai makanan kerana musibah banjir ini, saya berasa sangat bersalah apabila membuang baki makanan yang tidak termakan akibat ketamakan sendiri.
Banjir ini mengajar saya menghargai kaum keluarga dan sahabat handai kerana kerisauan terputus hubungan akibat banjir dan berbagai - bagai fikiran negatif yang timbul tentang keselamatan kaum keluarga di Kuantan.
Banjir ini mengajar saya, kita tidak perlu mengharapkan orang lain (pemimpin) untuk melakukan sesuatu perkara tentang diri kita. Sekali imbas peristiwa ini seperti kiamat kecil. Masing - masing hanya memikirkan diri sendiri dan kaum keluarga masing - masing. Bagaimana pula nanti di akhirat sana, pasti kita hanya memikirkan diri sendiri sahaja.
Banjir ini juga mengajar bahawa manusia itu tetap manusia. Apabila keperluan asas tidak dipenuhi, maka pastinya tiada lagi bahagia. Masing - masing mementingkan diri. Mujurlah masih ada hamba Allah yang berhati mulia membantu tak mengenal warna kulit dan beza agama.
Banjir ini juga mengajar saya, ada orang yang suka menangguk di air keruh. Kerana itu, pepatah itu wujud. Si peraih besi buruk yang menyepahkan jalan merebut hasil besi yang dibuang orang. Kenaikan harga barang makanan kerana ada sesetengah kawasan terputus bekalan makanan. Orang yang bukan mangsa banjir mengaku mangsa pun ada. Namun ingatlah, setiap perbuatan kita pasti akan dibalas. Buat baik dibalas baik, buat jahat dibalas dengan keadaan yang buruk juga.
Sayu mendengarkan kisah - kisah dari sukarelawan, baju yang didermakan miang dan berbau, koyak pun ada. Makanan di pusat pemindahan mangsa banjir dicatu dek kerana tidak cukup bahan makanan. Mana - mana pusat yang menjadi tumpuan, mewahlah mangsa banjirnya. Mana - mana yang berada di kawasan susah untuk dihubungi, terpaksa dicatu dan mengikat perut demi anak - anak kecil yang kelaparan. Lampin pakai buang yang tidak bersalin. Barang - barang bantuan yang tiba direbut kerana takut habis dan tidak dapat. Barang apa yang direbut? Barang penjagaan asas diri seperti sabun mandi, berus gigi dan tuala wanita kerana pastinya berhari - hari badan tidak selesa dengan kesan air bah. Bagaimana pula dengan orang tua atau kanak - kanak yang tidak punya ahli keluarga yang kuat dan gagah perkasa untuk merebut keperluan diri ini? Budak - budak tidur macam mana? Pasti sejuk dek musim hujan. Ibu - ibu yang mungkin dalam hari , tengah berpantang anak kecil, bagaimana lah ye? Semua soalan - soalan itu sentiasa bermain dalam fikiran saya.
Akhir kalam, peristiwa banjir ini pastinya kita kenal siapa kawan dan siapa lawan. Allah swt menduga kerana Allah swt sayang pada kita, jadi bersabarlah. Kalau Allah swt uji dengan kesusahan, pastinya kita akan kembali kepadanya. Namun jika Allah swt uji dengan nikmat kesenangan, pastinya kita terus lalai dan leka tanpa mengambil kira kewujudan Nya. Allah swt uji kerana Allah swt masih pandang kita. Kalau Allah swt tidak menyedari kehadiran kita, pastinya Dia membiarkan kita leka dengan amalan yang merosakkan diri kita sendiri..
No comments:
Post a Comment