Pages

Sunday, 16 March 2014

Kisah di suatu pagi

Sebenarnya, saya dah lama hendak menulis tentang ibu tunggal ini. Setiap pagi, selepas menghantar anak ke rumah pengasuh, saya akan melalui  kawasan perkampungan dan kawasan perumahan yang penduduknya majoriti masyarakat India. Laluan saya itu bukanlah laluan utama , namun kerana faktor jarak yang dekat dengan pejabat, saya suka melalui kawasan tersebut. Pemandangannya agak hijau, ada kebun kelapa sawit, ada lembu yang sedang makan rumput (kadang kala, saya berhenti untuk membiarkan anak - anak dengan imaginasi tentang lembu itu). Jalannya berturap dengan tar, namun ada yang tidak sempurna dek kerana ia menjadi laluan kenderaan berat yang membawa hasil sawit. Pagi - pagi, hawanya nyaman sekali. jika beruntung, saya berpeluang melihat kelibat burung enggang.



Setiap pagi, saya melihat kelibat seorang wanita muda berketurunan India berjalan kaki dengan laju menghala ke Pekan Sabak.Mulanya saya teragak - agak untuk menumpangkannya, maklumlah saya memandu berseorangan, perempuan pula. Namun, pada hari Jumaat yang lalu saya berpeluang berbual sedikit panjang dengannya ketika menumpangkan dia ke Pekan Sabak.

"Nama apa cik?" tanya saya.
"Jaya". ringkas sahaja jawapannya.
"Hari - hari, saya nampak cik jalan kaki ke Pekan Sabak. Tak ada motor atau pun basikal kah? Jauh juga nak berjalan tu." tanya saya lagi. Perkiraan saya, jarak dari kawasan perumahan itu ke Pekan Sabak sekitar 2-3km.
"Saya ini orang susah. Ibu tunggal. Suami saya dah mati, dah 2 tahun. Tak ada basikal atau motor." pendek dan perlahan sahaja jawapannya.
"Ohh..kerja di mana?" terdiam sekejap sebelum saya meneruskan pertanyaan lagi, sambil itu mata memandang deretan kedai di sepanjang laluan.
" Di XXX. Tiap hari macam ni, pergi kerja dan balik kerja berjalan kaki. Dah terpaksa.Ada anak kenalah bekerja kan."
Saya hanya menganggukkan kepala tanda setuju.

Dalam pada itu, saya memberhentikan dia betul - betul di hadapan tempat Jaya bekerja. Masa perjalanan sangat pendek untuk saya berbual lagi dengannya.Saya menyambung perjalanan ke tempat kerja.
Fikiran saya melayang sepanjang perjalanan memikirkan apa kesudahan wanita India itu nanti.
Maklumlah , ibu tunggal. Dengan pekerjaan seperti itu, saya bayangkan, gajinya tidaklah seberapa. Mujurlah duduk di kawasan luar bandar. Namun sekarang ini, bahan mentah makanan pun sudah naik harga berlipat ganda. Tidak seperti dahulu. Persoalan yang masih bermain di fikiran saya ialah, ada ke Persatuan Ibu Tunggal India? Bagaimana pegawai yang berkenaan hendak mengenal pasti golongan seperti Jaya yang mungkin, tidak akan mendaftar dengan mana - mana badan pun untuk dihulurkan bantuan dan sebagainya.

Saya pasti , ramai yang seperti Jaya, hidup di celah - celah masyarakat. Mungkin mereka termasuk dalam data bantuan atau mungkin sebaliknya. Pastinya, jika saya bertemu lagi dengan Jaya, saya ada rancangan untuknya. Sekurang - kurangnya, beban hidup sebagai ibu tunggal dapat dikurangkan.

Untuk sebarang komen, boleh emailkan kepada zunairahagi@gmail.com

Untuk mendapatkan produk Shaklee, hubungi saya seperti berikut :

no hp : 012-2248189
email: zunairahagi@gmail.com


No comments:

Post a Comment