Wednesday 30 October 2013

10 Jenis Pemanis Makanan

Pembentangan belanjawan negara baru - baru ini menyaksikan harga gula akan dinaikkan berikutan pengurangan subsidi gula. Sebagai pengguna , kita pasti akan terkena tempias kenaikan harga gula ini. Biarpun saya jarang membeli gula, namun pastinya saya akan terkena kesan kenaikan harga gula. Kebanyakan masakan menggunakan gula, hatta sambal nasi lemak kerana fungsi gula bukan sahaja sebagai pemanis makanan tetapi sebagai pengawet dan pewarna semulajadi (karamel).

Berikut adalah pemanis utama makanan yang terdapat di pasaran yang menjadi pilihan pengguna.

Gula pasir


Kebanyakan gula pasir yang didapati di Malaysia ialah jenis gula tebu. Struktur kimianya dikenali dengan nama sukrosa. Pengambilan gula ini secara berlebihan menyebabkan kadar insulin yang dikeluarkan tubuh akan meningkat dan boleh menyebabkan gangguan pada sistem tubuh. Kencing manis atau diabetes jenis II, merupakan penyakit yang biasa berlaku disebabkan pengambilan gula berlebihan. Ini kerana, kalori pemanis jenis ini dalam lingkungan 20 kalori dalam 1 sudu teh. Sedangkan kajian menyatakan seorang lelaki hanya perlu mengambil 120 kalori gula dalam sehari bersamaan dengan 6 sudu teh gula. Bagi wanita , kadarnya lebih rendah iaitu 100 kalori gula sehari. Namun , ramai yang tidak sedar, gula jenis ini berada dalam hampir semua makanan termasuklah sos cili, mayonis, makanan bermasak, makanan dalam tin, makanan dalam bungkusan. Ini kerana selain sifatnya sebagai pemanis, ia juga boleh bertindak sebagai pengawet makanan. Contoh produk ialah jem buah - buahan. Masalah kita sebagai pengguna , kita jarang mengambil tahu kandungan gula di dalam makanan berbungkus seperti itu. Contohnya, dalam soda minuman, kandungan gula adalah sekitar 9 hingga 11 sudu teh gula. Jadi berapa kalori gula dalam soda minuman tersebut?

Stevia



Merupakan sejenis herba dari Amerika Latin. Baru - baru ini, herba ini menjadi popular di kalangan pengidap kencing manis. Rasa manisnya adalah 30 kali ganda berbanding gula pasir biasa. Ia tidak mempunyai kalori dan ia selamat berbanding dengan pemanis tanpa kalori yang lain disebabkan ia berasal dari sumber semulajadi. Walau bagaimanapun, ia mempunyai tinggalan rasa (rasa berangin seperti cengkih) yang mungkin kurang digemari oleh sesetangah orang. Namun, rasa tersebut boleh disamarkan dengan penggunaan lemon. Jangan guna stevia dalam bancuhan kopi kerana kopi tidak mampu menghilangkan rasa tersebut.

Madu


Merupakan pemanis semulajadi daripada lebah. Apabila ia tidak diproses, ia mempunyai nilai vitamin dan zat mineral seperti vitamin B, mangan dan zat besi. Paling menyeronokkan , ia mempunyai sifat antimikroorganisma kerana ia mempunyai kandungan peroksida yang tinggi. Oleh itu, mikroorganisma hidup akan mati disebabkan oleh kehadiran peroksida di dalam madu. Namun, apabila madu dikenakan tindakan haba seperti dimasak atau dimasukkan ke dalam makanan bermasak, sifat antimikrobial tersebut akan hilang kerana peroksida mudah meruap.Gunakan di dalam teh atau pun smoothies dan kandungan kalorinya sekitar 32 sesudu teh. Ia lebih manis dari gula sebanyak 20%. Secara tak langsung, kita akan mengurangkan penggunaan madu berbanding gula pasir dalam makanan.

Agave

TK
Merupakan sejenis pemanis yang diekstrak dari sejenis tumbuhan kaktus di Mexico. Walau bagaimanapun, permintaan yang berlebihan terhadap pemanis jenis ini, menyebabkan ancaman biologi terhadap kelawar yang hidup dengan memakan pokok kaktus ini. Kemusnahan atau penuaian pokok kaktus ini secara tidak terkawal menyebabkan kelawar tersebut diancam kepupusan. Ia lebih manis daripada madu dan kandungan kalorinya sekitar 30 bagi sesudu teh.

Gula pokok palma (contoh : gula kabung)


Gula pokok palma dihasilkan daaripada proses memasak hasil tuaian nektar bunga pokok jenis palma seperti pokok kelapa atau pokok nipah. Di kalangan masyarakat tempatan ia dikenali sebagai gula nira. Ia kaya dengan sumber vitamin dan mineral. Nira kelapa ini selamat digunakan namun harganya yang mahal disebabkan proses tuaiannya menyebabkan ia kurang popular sebagai pengganti gula tebu biasa. Nilai kalorinya hampir sama dengan gula pasir iaitu sekitar 20 kalori 1 sudu teh.

Aspartame

TK
Merupakan sejenis pemanis tiruan yang dihasilkan secara kimia. Rasa manisnya 200 kali ganda berbanding gula tebu tetapi ia rendah kalori. Walau bagaimanpun, ia mempunayai enzim yang mungkin tidak dapat di proses oleh tubuh individu tertentu yang sensitif dengannya. Sesetengah orang mengadu , pengambilan aspartame menyebabkan sakit kepala. Ia tidak sesuai untuk digunakan dalam hasilan bakeri seperti kek kerana sifat pemanisnya akan berkurangan disebabkan proses haba yang tinggi ketika pembakaran kek. Ia sesuai diletakkan di dalam minuman. Ia boleh ditemui dalam makanan rendah kalori atau makanan diet dan produk makanan yang siap dibungkus. Ia dipasarkan dengan jenama seperti Equal atau pun Nutrasweet.

Sukralos

TK
Pemanis tiruan yang dihasilkan secara kimia dengan tahap kemanisan 600 kali ganda berbanding gula. Sukralos tiada kalori dan merupakan kombinasi sukrosa yang bertindak  balas dengan klorin. Tubuh kita tidak boleh memproses klorin, oleh itu tiada penyerapan dilakukan terhadap sukralos. Jika tiada penyerapan , maka tiada kalori diserap oleh tubuh. Walau bagaimanapun, klorin akan membunuh mikroflora di dalam perut dan usus termasuk mikroflora yang baik untuk penghadaman. Ia membunuh mikroorganisma tersebut seperti ia membunuh mikrob di kolam renang. Produk diet mungkin mengandungi sukralo terutama yang dipasarkan untuk pesakit kencing manis. Jadi, sila baca label makanan sebelum membelinya.

Saccharin

TK
Merupakan sejenis pemanis tiruan yang telah berusia hampir 100 tahun. Dihasilkan secara kimia dan ia 300  kali ganda lebih manis daripada gula. Sesetengah kajian menyatakan ia boleh menyebabkan kanser. Ia tiada kalori dan mempunyai rasa pahit selepas makan makanan yang ditambah saccharin. Ia tidak meningkatkan kandungan gula dalam darah, oleh itu ia banyak dalam produk untuk pesakit kencing manis sekian lama.

Gula alkohol (xylitol,maltitol dan manitol)

TK
Jika melihat daripada namanya, ia adalah halal di makan. Gula alkohol mendapat namanya disebabkan ia merupakan sejenis polisakarida daripada jenis karbohidrat yang mempunyai kumpulan OH. Ia dihasilkan daripada sumber serat seperti selulosa buah - buahan dan sayur - sayuran. Kebanyakan gula alkohol ini tidak digunakan terus dalam masakan tetapi ia banyak digunakan dalam produk makanan siap dan barangan keperluan diri seperti ubat gigi. Pemanis jenis ini, boleh didapati dalam minuman dan makanan ringan kerana sifatnya yang rendah kalori dan lebih manis dari gula. Contohnya xylitol dihasilkan daripada polisakarida xylan, maltitol daripada polisakarida maltosa dan mannitol daripada polisakarida jenis manosa.

Berbanding sifat pemanis yang lain, xylitol membantu mengurangkan masalah karies gigi dan mempunyai nilai kalori sebanyak 2.4kcal berbanding gula 3.8kcal dan lebih manis daripada gula tebu. Ia juga mempunyai nilai indeks glisemiks yang rendah iaitu 7. Ia boleh diestrak daripada sumber polisakarida seperti buah beri, oats, cendawan dan lain - lain. Selain itu ia disahkan selamat untuk pesakit diabetik dan ia juga mempunyai sifat antimkrob. Oleh itu, ia tidak boleh digunakan dalam proses menghasilkan roti kerana ia mengganggu tindak balas yis.

Maltitol pula mempunyai sifat seakan - akan sukrosa. Walau bagaimanpun , ia tidak menyebabkan karies gigi kerana bakteria tidak dapat mensisntesiskan molekulnya yang lebih kompleks daripada sturktur gula. Ia banyak digunakan dalam makanan bersifat manisan seperti kandi, aiskrim dan sebagainya. Namun, seperti gula alkohol yang lain ia mempunyai kesan laksatif kerana tubuh tidak dapat mensintesiskannya.

Mannitol juga bersifat manis dan mempunyai rasa berangin seperti pudina. Oleh itu, ia sering digunakan dalam gula - gula getah berperisa pudina dan juga dalam ubat gigi. Ia juga mempunyai sifat higroskopik yang rendah menyebabkan ia sangat digemari sebagai penyalut gula - gula. Sifat rendah higroskopik ini menyebabkan ia tidak melekit seperti gula - gula biasa yang lain. Selain itu ia juga sering digunakan dalam tablet kunyah seperti vitamin berbentuk tablet.

Sirap Jagung Tinggi Fruktosa

TK
Bersifat seperti madu tetapi dihasilkan daripada jagung. Ia mempunyai nilai kalori sebanyak 17 bagi setiap 1 sudu teh. Ia banyak ditemui dalam minuman soda, manisan dan bijirin sarapan. Disebabkan kos penghasilannya lebih murah, dan menyebabkan produk makanan tahan lebih lama ia sering dimasukkan ke dalam produk makanan berbanding gula tebu. Kandungan utamanya ialah glukosa dan fruktosa. Walau bagaimanapun, ia dikatakan menjadi punca obesiti disebabkan penggunaannya yang meluas dalam makanan. Jadi , pastikan anda guna dengan had yang sesuai.

sumber :
http://www.mnn.com/food/healthy-eating/stories/complete-guide-to-sugar-and-sugar-substitutes
http://www.health.com/health/gallery/0,,20424821_6,00.html
sugar and confectionary


 


Saturday 26 October 2013

Resepi Pandan Layer Cake

Seperti yang dijanjikan, saya nak share resepi kursus kek yang saya hadiri.


Perlu hasilkan kek span dahulu @ beli sahaja kek span.

Resepi Kek Span (saiz 8 inci)

250g sponge mix cake
4 biji telur
50 ml air
50 g minyak jagung
1 sudu teh ovellate (cari yang halal, jenama Nona atau tak perlu pun tak apa)
1 sudu teh perasa pandan coconut
sedikit pewarna hijau.

Kaedah memasak kek

Masukkan tepung sponge mix, telur , ovellate, air dalam mangkuk adunan. Putar laju hingga kembang. Masukkan perasa dan pewarna dan akhir sekali minyak jagung. Tuangkan ke dalam acuan 8 inci dan bakar pada suhu 180C selama 45 minit.

Bahan 2

400 ml santan pekat
300 ml air
3 sudu teh serbuk agar - agar
50 ml perasa pandan
6 sudu besar tepung Hoen Kee warna hijau
180g gula
serbuk roti putih untuk hiasan

Kaedah memasak Bahan 2

Campur semua bahan. Kacau sebati. Masak pada suhu yang perlahan hingga adunan pekat dan masak.

Kaedah Menghasilkan Pandan Layer Cake

Potong kek kepada 3 bahagian. Trim kek supaya bersih daripada kesan - kesan hangus.
Masukkan 1 daripada 3 bahagian kek ke dalam acuan. Tuang bahan 2 sehingga menutupi lapisan kek.Lapiskan dengan potongan kek yang kedua.Ulang langkah yang sama. Tuang baki bahan 2 ke atas permukaan kek. Ketuk sedikit supaya rata.
Biarkan kek sejuk. Kemudian, hiaskan dengan serbuk  roti.



Catatan perjalanan 3 hari 2 malam ke Terengganu dan Kelantan

Baru - baru ini suami mengajak saya mengikuti rombongan sekolahnya sempena program hari keluarga. Jadi saya telah mengambil cuti untuk makan angin dengan anak - anak. Maklumlah sebelum hari perjalanan ke Terengganu, saya masih terlibat dengan program rasmi kolej di mana kolej sebagai penganjur. Kami sangat sibuk sepanjang minggu itu. Jadi ketika suami melontarkan idea untuk bercuti hingga ke Kelantan, saya memang bagai orang mengantuk disorongkan bantal bila diajak begitu.

Kami mengambil keputusan untuk tidak menaiki bas rombongan untuk keselesaan anak - anak, memandangkan situasi perjalanan yang agak jauh. Lebih kurang pukul 3 petang ,hari Jumaat, kami bertolak dari Pekan Sabak Bernam. Sepanjang perjalanan , cuaca agak mendung. Tiba di  MRR2 berdekatan dengan Plaza Tol Gombak, hujan semakin lebat. Kami mengambil keputusan untuk berhenti di Stesen minyak Petronas sebelum meneruskan perjalanan ke Tol Gombak. Setelah selesai urusan urus diri dan anak - anak, kami meneruskan perjalanan ke pantai timur. Hari semakin gelap. Hujan pula semakin lebat. Kenderaan semakin banyak mungkin kerana sudah lewat petang dan waktu orang pulang dari pejabat.

Menjadi kebiasaan kepada suami, apabila hendak melakukan perjalanan jauh, dia akan mengambil multivitamin Shaklee iaitu Vitalea bagi menambah tenaga dan mengurangkan rasa ngantuk ketika memandu. Jadi sepanjang perjalanan, saya boleh lihat, dia lebih cergas dan fokus ketika memandu.

Jam 6.45 petang lebih kurang, kami tiba di R&R Temerloh. Biasalah , bila ada anak kecil, memang kita akan kerap berhenti. Tempat ini menggamit kenangan lama ketika saya berulang alik ke Terengganu ketika berkhidmat sebagai pendidik di Ketengah Jaya. Ketika itu, Lebuharaya pantai timur ini baru sahaja dibuka dan percuma kepada pengguna selama sebulan. Kedai - kedai di  R&R Temerloh boleh dibilang dengan jari. Kini ia penuh dengan khemah jualan di merata - rata. Semakin meriah.

Akhirnya setelah menempuh perjalanan selama 9 jam, kami tiba di Terengganu Equestrian Resort (TER) , Kuala Terengganu pada pukul 12.00 tengah malam. Bilik yang disediakan sederhana, cukup selesa untuk saya sekeluarga.Harganya berpatutan RM100.00 semalam. Berhawa dingin, katil king. Bilik airnya luas.Ada balkoni untuk menjamu mata pandangan yang cantik. Lokasi TER ini berdekatan dengan Masjid Kuala Ibai.Bersebelahan dengan pantai.



Pagi - pagi semasa mahu bersarapan anak - anak dah menjerit kekaguman dapat melihat kuda polo di sekeliling TER. Kuda - kuda ini dibawa bersiar - siar di sekeliling TER yang merupakan aktiviti harian kuda jika tiada perlawanan. Seronok juga kalau ada perlawanan polo. Insya Allah , kami akan datang lagi untuk melihat sendiri perlawanan polo.


Jadual hari Sabtu dipenuhi dengan lawatan ke Pasar Payang dan Masjid Kristal. Antara tarikan pelancongan ke Terengganu. Sempat juga membeli buah tangan untuk dibawa balik.



Kembali ke tempat penginapan, anak - anak lebih berminat dengan kuda - kuda di stable. Khaulah menjerit - jerit, "ude..ude..". Anas pula merenung tajam kuda - kuda yang ada.Geram agaknya.

Inilah marimar. Cantikkan!

Semasa di TER, kami terserempak dengan Marimar, kuda polo yang sangat cantik, milik Sultan Terengganu. Anas memang tak melepaskan peluang mengusap dan membelai kuda.Tersenyum puas lagaknya. Khaulah, hanya menjerit - jerit memanggil kuda tapi masih takut hendak memegang dan membelai kuda. Geli katanya.Macam - macam kerenah anak  - anak. Pada saya, TER tempat persinggahan yang lengkap dan sesuai untuk seisi keluarga. Ada taman rekreasi, ada kandang kuda, ada kompleks sukan yang mempunyai tempat permainan bowling, squash, kolam renang dan gelanggang badminton. Bayaran yang dikenakan pun berbaloi dan setimpal.



Pada hari Ahad, kami bergerak ke Jerteh untuk singgah mengambil adik perempuan pulang bercuti.Oleh kerana Jerteh sudah bersempadan dengan Kelantan, kami merancang untuk jalan - jalan sekitar Kelantan.
Kagum melihat semua papan tanda bertulisan jawi. Ini baru memartabatkan budaya bangsa.

Singgah di pekan Melor untuk bertemu rakan sepejabat yang baru melahirkan anak lelaki. Kami bermalam di hotel budget di Kota Bharu. Tidak sabar rasanya nak mulakan perjalanan hari esok.
comel kan.


Awal - awal pagi, kami telah bergerak ke Pasar Siti Khadijah. Meriah sungguh Pasar Siti Khadijah. Geram rasanya melihat varieti makanan tempatan yang ada. Macam nak cuba semua. Sempat juga bersarapan di gerai - gerai berhadapan Pasar Siti Khadijah. Saya memang tak lepaskan peluang untuk menikmati nasi dan lauk pauk tempatan seperti kerutuk daging, akok, jala mas dan macam - macam lagi. Ada juga kuih kegemaran saya yang semakin sukar dijumpai di pasar - pasar tempatan iaitu kuih tepung bungkus.
suami beli RM5.00 .Tak tahu berapa biji akok ni.Tapi sangat banyak dan habis sepanjang perjalanan.


Perjalanan diteruskan ke Rantau Panjang. Ada tarikan menarik iaitu Masjid Beijing dan pastinya barangan yang murah di Rantau Panjang. Penuh juga kereta dengan hasil belian kami di Rantau Panjang. Berpandukan GPS , kami ke Bukit Bunga. Meriah sepanjang jalan. Kami singgah makan tengahari gulai itik. Sempat meninjau pelbagai barangan yang dijual di Bukit Bunga. Namun disebabkan kesuntukan masa, kami bergerak pulang ke Sabak Bernam dengan melalui pekan Gerik, Kuala Kangsar dan Teluk Intan. Anak - anak tidur keletihan. Kami tiba di Sabak Bernam, sekitar jam 9 malam. Sayang sekali perjalanan ke Kelantan, tiada rakaman peristiwa yang dapat saya lakukan lantaran bateri kamera sudah habis. Sayangkan.Namun semua kenangan cuti - cuti bersama keluarga pasti tersemat di dalam memori.




Wednesday 23 October 2013

Langkah Demi Langkah Penghasilan Mee Kuning

Sebagai pensyarah kolej komuniti, saya memang selalu terlibat dalam program komuniti dan kelas - kelas hujung minggu. Banyak permintaan yang diterima kebanyakannya mahukan kaedah penghasilan mee kuning. Sebenarnya kaedahnya adalah mudah cuma mungkin perlukan sedikit kemahiran dan kefahaman dalam bidang pemprosesan hasil bijian. Di sini saya masukkan kaedah penghasilan mee kuning yang dilakukan oleh pelajar saya semester lepas dalam Pemprosesan Hasilan Bijian.

Bahan - Bahan Utama Penghasilan Mee Kuning

Tepung Gandum Protein Tinggi  - 1 Kg
Air                                            - 450 ml
Air Abu                                    - 32 ml
Garam                                      - 20g
Pewarna Kuning                        2 g
Minyak Masak secukupnya

Peralatan yang digunakan ialah mesin mee, mangkuk adunan, periuk, senduk, penapis dan peralatan lain yang dirasakan sesuai.

Kaedahnya

1. Tepung gandum diayak dahulu.Garam, pewarna kuning dan air abu dikacau larut.
2. Tepung gandum digaul dan diuli dengan air larutan garam dan air abu sehingga sebati.



 3. Adunan tadi dipiskan dahulu dan digelek dengan mesin penggelek sebanyak 4-5 kali.




4. Kemudian, barulah dipotong dengan mesin pemotong untuk menghasilkan mee. 

5. Rebus dengan air mendidih (30 - 40 saat) .Angkat apabila ia terapung dan toskan.


6. Cuci dengan air paip bagi menghilangkan kanji - kanji tepung yang ada.


7. Gaul mee kuning dengan minyak secukupnya. Mee sudah disiapkan. Boleh dibungkuskan jika untuk dijual setelah disejukkan. 

selamat mencuba

Dapatkan tips dan teknik menghasilkan mi kuning yang baik untuk industri kecil dengan menghadiri kursus pendek di Kolej Komuniti Sabak Bernam 

Sunday 20 October 2013

Adakah lactose intolerance dan alergik susu, sama atau berbeza.

Kita selalu mendengar istilah alergik susu lembu, alergik susu kambing dan alergik susu soya tetapi apakah kita faham istilah setiap perkataan tersebut. Lactose intolerance atau tidak toleran dengan laktosa susu berkait rapat dengan semua istilah yang disebutkan sebelum ini.

Apakah itu lactose intolerance?

Lactose intolerance ialah ketidakupayaan untuk mencerna dan menyerap gula laktosa iaitu gula susu yang akan menyebabkan masalah pencernaan berlaku pada usus dan perut apabila pesakit makan makanan yang mengandungi susu.

Bagaimana lactose intolerance berlaku?

Molekul gula laktosa ada besar disebabkan ia adalah gabungan gula jenis glukosa dan galaktosa. Bagi menyerap dan mencerna laktosa di dalam sistem pencernaan, laktosa akan dipecahkan kepada dua gula kecil iaitu glokosa dan galaktosa. Walau bagaimanapun, masalah lactose intolerance berlaku disebabkan enzim pencerna laktosa iaitu laktase tiada atau kurang di dalam sistem pencernaan pesakit. Kekurangan atau ketiadaan laktase disebabkan sel yang menghasilkan enzim laktase tidak wujud sejak lahir disebabkan mutasi atau masalah usus kecil. Selain itu, enzim laktase tidak dikeluarkan dengan banyak disebabkan usus kita tidak dibiasakan dengan produk hasilan tenusu. Amalan makan produk hasilan tenusu perlu dimulakan sejak kecil lagi. Di dalam masyarakat Asia, hampir 100% menghadapi masalah lactose intolerance, American Indian 80%, masyarakat kulit hitam , 70%. Bagaimanapun masyarakat kaukasian hanya 20% sahaja. Secara puratanya, masyarakat Asia dikesan menghadapi masalaha ini sejak berusia 5 tahun.

Simptom - simptom lactose intolerance

  • sakit perut
  • cirit birit
  • kembung perut
  • pening dan loya
Bagaimanakah simptom - simptom ini berlaku?

Apabila laktosa ini tidak dicernakan oleh enzim laktase, ia akan dicernakan oleh mikroflora (bakteria) yang berada di dalam sistem pencernaan kita. Walau bagaimanapun, bakteria ini turut menghasilkan gas seperti hidrogen yang menyebabkan sakit perut atau kembung perut, perut berangin dan sebagainya.

Terdapat juga laktosa yang tidak dicernakan, dan menyebabkan ia cuba dikumuhkan oleh sistem pencernaan badan. Walau bagaimanpun, ketika berada di usus, ia akan mengambil air yang banyak untuk dikeluarkan sebagai najis menyebabkan cirit birit pada pesakit.

Masalah lactose intolerance ini bergantung dengan tubuh individu. Terdapat perbezaan yang ketara dari segi simptom bagi setiap individu .

Perbezaan antara allergy susu dengan lactose intolerance

Lactose intolerance bukan sejenis allergy. Allergy susu misalnya susu lembu disebabkan oleh tindak balas sistem imun badan terutamanya terhadap protein susu seperti kasein. Ia mungkin menyebabkan berlaku ruam dan masalah - masalah lain. Selalunya apabila allergy susu lembu, bayi tersebut akan allergy susu kambing dan juga biri - biri. Walau bagaimanapun, susu ibu masih boleh dikonsumi oleh bayi tersebut tanpa sebarang masalah. Simptomnya mungkin sama dengan simptom lactose intolerance tetapi ia sebenarnya berbeza dari segi puncanya. Allergy susu adalah biasa di kalangan bayi dan ia akan beransur pulih sekitar usia 2 hingga 3 tahun. Selepas tempoh itu, kanak - kanak boleh dibiasakan meminum susu tanpa had. Mulakan dengan amaun yang sedikit sehingga jumlah yang sepatutnya. Bayi yang allergy susu lembu juga , 13% daripadanya akan allergy daging lembu. Orang dewasa yang allergy susu hanya dalam 0.1% hingga 0.5% sahaja.

Pengalaman saya

Saya telah mengalami simptom lactose intolerance sejak kecil. Cuma saya tidak pasti, adakah saya sejak lahir tidak mempunyai sel yang merembes enzim laktase atau tidak. Ini kerana, ibu pernah mengatakan, saya diberi susu soya sedari kecil di samping susu ibu. Katanya saya alergik susu kerana tubuh saya akan naik ruam jika minum susu lembu, kambing dan seangkatan dengannya. Jadi saya diberikan susu berasaskan soya sejak kecil.

Tiap kali saya minum susu coklat , coklat susu, kek keju, kek krim coklat susu, aiskrim dan semua makanan hasilan tenusu saya akan mengalami semua simptom di atas. Teruk atau tidak bergantung dengan amaun yang saya ambil ketika itu. Baru - baru ini saya hanya minum sekotak susu kocak 250ml, dan saya mengalami cirit birit dan sakit perut selama 3 hari. Saya cuba mengurangkan masalah ini dengan minum air sebanyak mungkin dan mengekalkan kandungan bendalir dalam badan saya dengan mengambil Performance Drink keluaran Shaklee dan ia membantu untuk saya terus fokus dengan aktiviti harian saya.

Inilah yang saya hadapi mungkin sepanjang hayat saya. Saya pernah mencuba pendekatan menggunakan kaedah mencuba menaikkan aras amaun susu yang perlu dikonsumi setiap hari. Maknanya saya cuba melatih perut saya dengan minum susu supaya enzim laktase cuba dirembeskan. Dan ia masih dalam percubaan dan masih tidak berjaya walaupun ada kajian mengatakan proses itu berjaya.

Oleh itu saya mendapatkan sumber protein saya kebanyakannya daripada tumbuhan dan daging. Saya mengurangkan amaun kek keju yang saya ambil, sebab kalau saya paksa makan juga, sejurus selepas makan, saya pasti akan berada di tandas dua tiga kali. Selain itu, saya ada juga mengambil susu yang rendah laktosa atau tiada laktosa atau mempunyai bakteria yang membantu pencernaan laktosa seperti yoghurt.

Namun, sebagai pensyarah yang terlibat dalam bidang makanan, saya pasti tidak dapat mengelak daripada makan pizza dengan keju mozarella, kek coklat lembab, minuman susu kocak, homemade chocolate dan sebagainya. Saya sedia mengambil risiko kerana saya suka dengan mencuba makanan.

Kesimpulan

Lactose intolerance dan alergik susu adalah perkara yang berbeza cuma simptom nya hampir sama.



Thursday 17 October 2013

Tips menentukan kesegaran daging haiwan berkaki empat

Apabila bercakap tentang daging, ia merupakan topik kegemaran saya kerana mungkin saya telah mengajar subjek Pemprosesan Hasil Daging dan Ayam hampir 5 tahun. Selama tempoh itu, saya amat jarang mengambil makanan berasaskan daging. Mungkin kerana hampir saban hari saya dijamu oleh pelajar dengan produk hasilan daging seperti patty burger, bebola daging dan sebagainya.

Sempena Hari Raya Aidiladha ini, saya akan menerangkan bagaimana untuk menentukan potongan daging tersebut baru disembelih atau sudah lama dipamerkan oleh penjual. Sifat protein daging yang unik sangat mengagumkan. Protein daging yang dikenali sebagai myoglobin berfungsi sebagai penentu tahap kesegaran daging.

Selalunya pengguna akan membeli daging yang berwarna merah cerah yang cantik. Warna merah cerah tersebut dikawal oleh myoglobin.Myoglobin akan bertindak balas dengan oksigen dari persekitaran menghasilkan sejenis bahan yang dinamakan oksimyoglobin. Kehadiran pigmen inilah yang menyebabkan warna daging bewarna merah cerah.

Namun , kandungan oksigen yang bertindak balas dengan myoglobin sebaik sahaja haiwan disembelih adalah kurang. Ini menyebabkan warna daging seakan merah kebiruan atau merah keunguan. Jangan takut untuk memilih daging bewarna merah keunguan kerana ia menunjukkan daging tersebut baru disembelih.

 Kandungan oksigen yang berlebihan pula atau terlampau lama didedahkan terhadap daging akan merubah warna daging menjadi merah perang atau merah kehitaman. Ini menunjukkan protein daging sudah teroksida dengan oksigen. Ia merupakan indikator daging tersebut sudah lama dipamerkan oleh penjual pasar basah.

Walau bagaimanapun, terdapat kaedah yang dilakukan oleh peniaga daging untuk menarik pengguna untuk membeli daging merah yang cantik. Para peniaga tersebut menggunakan lapisan oksigen yang telah dikawal kandungan oksigennya. Ini menyebabkan daging kekal dengan warna merah cerah untuk beberapa tempoh ketika dipamerkan kepada pengguna. Anda boleh mencuba membeli daging yang telah dikelaskan dan dibungkus di pasaraya - pasaraya besar tempatan. Mereka menggunakannya pada potongan daging yang telah dibungkus rapi.

Kata kuncinya, pilih daging yang bewarna merah keunguan dan merah cerah untuk daging yang segar.

Wednesday 16 October 2013

Testimoni Kelas Asas Blog & Fanpage

Di tengah malam seperti waktu sekarang ini , baru saya berpeluang mencuba hobi baru. Semuanya bermula apabila saya memasuki Kelas Asas Blog & Fanpage kelolaan Pn Zaila Mohamad. Saya ingat mudah sahaja untuk menulis blog. Rupanya ia mempunyai etika dan gaya sebagai seorang penulis blog. Sebagai pensyarah saya biasa menulis dan itulah kerja saya setiap hari menulis. Namun tidaklah sehingga berblog dan menulis secara santai begini. Saya biasa menulis perkara - perkara yang rasmi dan lebih akademik.Jadi apabila dianjurkan oleh jabatan saya dalam penylisan kreatif, saya fikir blog merupakan asas untuk membina daya kreatif sebagai seorang penulis.

Kelas Asas Blog dan Fanpage ini memberi peluang kepada saya untuk meneroka alam siber yang semakin canggih dan luas.Tugasan yang diberikan secara online, mengikut masa saya sebagai penjawat awam, isteri , ibumdan pengedar bebas Shaklee memudahkan saya. Tidak perlu menghadiri kelas secara nyata kerana jadual saya di siang hari sebagai pendidik adalah sangat penuh. Pergi kerja pukul 7 pagi , pulang 7 malam . Mujur pejabat dekat dengan rumah. Yuran yang dikenakan berpatutan kerna anda tak mungkin belajar sehari terus pandai berblog. Jadi anda mungkin perlukan berbulan - bulan untuk berjaya sebagai penulis blog yang baik dan yang paling seronok saya tak perlu menghadiri peperiksaan. :)

Apabila saya berjaya menyelesaikan tugasan yang diberikan, guru online saya akan memantau secara online juga dan memberi tunjuk ajar secara online. Mudah bukan! Kelas ini sangat disyorkan kepada yang mahu berjinak - jinak dalam perniagaan online. Kena daftar sebagai pelajar baru tahu.

Asas pengiklanan secara online pun diajarkan juga. Harapan saya, blog saya akan menjadi pilihan pembaca dan saya akan sentiasa berguru untuk meneroka alam blog dengan lebih jauh. Terima kasih cikgu Zaila.

Untuk hubungi cikgu Zaila boleh terus ke FB beliau atau laman blog kelolaan beliau http://zailabinimdae.blogspot.com/.

Tips diet seimbang bermula dengan sarapan yang hebat

Anda akan mempunyai hari yang hebat jika anda bermula dengan sarapan yang bagus. Kenapa saya berkata begitu? Ini disebabkan oleh sarapan merupakan penunjuk yang hebat tentang pola pemakanan anda setiap hari. Jadi anda haruslah mengambil sarapan yang bertenaga tinggi, sihat dan seimbang untuk memberikan anda tenaga sepanjang hari dan nutrien yang diperlukan oleh tubuh supaya cergas dan cerdas sepanjang pagi.

Ada pepatah mengatakan "Sarapan pagi perlu makan seperti Raja, Makan Tengahari perlu makan seperti Permaisuri dan Makan Malam p, perlu makan seperti pengemis". Anda faham tak maksudnya di sebalik pepatah tersebut? Sebagai seorang Raja, kita akan makan makanan yang paling baik , paling selamat, paling bagus berbanding makanan lain. Cuba perhatikan raja - raja dahulu. Sama juga seperti makanan untuk makan tengahari. Haruslah terbaik dan menyihatkan. Makan Malam seperti pengemis, maknanya bukan makan makanan yang tidak sihat tetapi sedikit sahaja yang perlu untuk dijamah sebagai menu makan malam.

Berikut adalah beberapa tips yang anda boleh ikuti untuk memilih kombinasi makanan bagi sarapan yang sihat.

Oat 
Oat segera untuk sarapan adalah sangat bagus kerana ia mengandungi serat dan vitamin. Namun begitu, pilihlah oat yang belum diproses dengan gula kerana ia lebih sihat . Gantikan gula tersebut dengan kismis atau pun buah - buahan segar. Contoh sarapan yang menggunakan oat dan potongan buah segar serta kismis ialah muesli.









100% bijian penuh



Bijirin yang kaya dengan serat yan mengandungi seratus peratus bijian penuh dan dihidangkan dengan susu rendah atau bebas lemak atau pun dihidangkan bersama susu soya adalah alternatif yang lebih sihat berbanding dengan bijirin yang manis. Ia juga dapat membekalkan kalsium yang diperlukan oleh badan. Mufin bijian gandum penuh dengan pisang pun merupakan satu kombinasi yang bagus untuk sarapan.




Kekacang

Makan roti bakar atau roti gandum bersama mentega kacang adalah cara yang baik untuk mendapatkan protein dan serat. (Ada masa, saya akan ajar anda cara menghasilkan mentega kacang anda sendiri. Sangat mudah.)







Buah - buahan



Kombinasi buah - buahan segar dan yoghurt rendah atau bebas lemak adalah sangat bagus untuk sarapan. Menikmati kombinasi tersebut bersama roti bakar, wafel, atau pun di dalam sandwich mentega kacang akan memberikan anda serat dan protein yang banyak.






Jem


Apa kata anda makan roti yang disapu dengan jem buah - buahan bersama hirisan buah segar untuk sarapan ketika mengahrungi kesesakan lalu lintas? Cepat dan senang untuk disediakan!








Telur
Walaupun telur terkanal dengan kandungan kolesterolnya yang tinggi, namun tidak dinafikan bahawa telur dapat memberikan jumlah protein yang cukup untuk mengharungi hari anda.






Smoothie
Bersarapan dengan smoothie kini merupakan satu trend terbaru. Biasanya untuk membuat smoothie, buah - buahan seperti beri dan pisang akan dikisar bersama yoghurt rendah atau bebas lemak dan jus buah - buahan. Coklat juga boleh ditambah ke dalam campuran smoothie tersebut. Ia bukan sahaja sedap, malah minuman tersebut penuh dengan nutrisi seperti antioksidan dari buah - buahan.




Sarapan pagi saya kebiasaannya saya akan mulakan dengan campuran milo dan serbuk protein soya non GMO dari Shaklee iaitu ESP yang rendah indeks glisemiknya. Ia sudah cukup mengenyangkan saya sehingga tempoh rehat pukul 10 pagi. Namun, kalau saya mempunyai perkara yang menyebabkan saya tidak boleh rehat pada tempoh tersebut, saya akan mengambil sarapan pagi dengan makanan yang sangat mengenyangkan sehingga tiba waktu makan tengahari. Tubuh anda, anda yang bina. Tubuh anda, anda yang tahu keperluannya. Jom sihat!