Monday 11 August 2014

Karya kreatif : Kolej Komuniti Satu Titik Mula

Rintikrintik hujan yang membasahi tangga kayu rumah tua peninggalan arwah bapanya diperhatikannya dengan fikiran yang kosong.Ana, masuk nak. Hujan dah mula turun. Tolong ambilkan ibu baldi di dapur. Ibu risau tempat tidur ibu kena hujan.

Pantas langkah Rohana mengikuti suruhan ibunya. Dia bingkas bangun menuju ke dapur. Namun dalam kotak fikirannya masih berkecamuk dengan pilihan yang perlu dibuat.


Aku perlu pilih samada ke UITM Alor Gajah untuk sambung pengajian atau terus duduk di Sabak Bernam ini. Siapa nak jaga ibu kalau aku ke sana? Duit simpanan aku pun sudah tidak berapa banyak. Takkan aku nak tolak lagi tawaran belajar yang ini.Dia buntu dengan keputusan yang perlu dipilihnya.

Pagi tadi, Fatin menghulurkan pamplet Kolej Komuniti Sabak Bernam kepadanya.Nah, ambil pamplet ni. Manalah tahu engkau terbuka hati. Kalau engkau susah nak berpisah dengan ibu kau, apa kata kau belajar di Kolej Komuniti. Dekat pun dekat. Kemahiran pun dapat. Nanti bila kau dah senang, kau boleh sambung belajar di peringkat yang lebih tinggi. Aku tahu keputusan peperiksaan SPM kau baik tetapi inilah pilihan yang kau ada. Dunia sekarang, orang pandang kemahiran. Kalau setakat ada kelulusan tetapi tak tahu buat kerja tak berguna juga.Panjang lebar sahabat baiknya itu melontarkan pendapat.

Malam itu, fikirannya melayang dalam sejuk hujan. Tik..tik..kedengaran rintik hujan yang menitis ke dalam baldi yang ditadah ibunya yang lumpuh separuh badan itu. Hatinya berbelah bagi untuk menyambung belajar lagi walaupun memang itu impian dan angannya sejak kecil. Berbekalkan keputusan yang baik ketika peperiksaan SPM yang lalu, dia memohon untuk menyambung pengajian dalam bidang yang diminatinya. Namun dia dalam dilema jika terpaksa meninggalkan ibunya yang lumpuh separuh badan itu di kampung jika dia menerima tawaran belajar itu. Akhirnya dia nekad, apa pun yang terjadi, dia tidak akan meninggalkan ibunya seorang diri. Dia bersedia untuk berkorban kerana ibunya lebih lama berkorban untuk dirinya sejak dia ketiadaan ayah lagi.Hmm..esok aku nak pergi ke Kolej Komuniti Sabak Bernam.Getus hati kecilnya.

Hampir empat tahun berlalu. Masa bergerak terlalu pantas. Dia terkenang kepayahan yang dilaluinya ketika perlu menerangkan kepada ibunya pilihan yang dibuat. Siang dia belajar di Kolej Komuniti Sabak Bernam dalam bidang Pelukis Pelan. Apabila cuti hujung minggu dan cuti semester, dia bekerja sambilan di agensi arkitek di daerahnya. Ketika dia tiada di rumah, ibunya ditemani Mak Jah, jirannya yang baik dan bertimbang rasa itu. Sebelum dia keluar ke kelas, dia pantas menyediakan kelengkapan dan keperluan ibunya termasuk memandikannya. Mujur dia mendapat bantuan kewangan daripada Kementerian Pengajian Tinggi. Pencen ayahnya dapat dijimatkan untuk membawa ibunya ke pusat terapi setiap bulan.Ya..penat jerihnya itu kini berbayar. Segala ilmu yang didapati di Kolej Komuniti tidak disiasiakan. Dia menggunakan pengalaman bekerja hujung minggu dan ilmunya untuk meningkatkan taraf hidupnya. Dalam kesibukan dia menguruskan kehidupan baru sebagai pelajar dan anak , ibunya kembali ke pangkuanNya.

Walaupun hidupnya sebatang kara kini, dia puas kerana dia telah berbakti dengan ibu hingga saat akhir hayatnya. Ibu..kalau ibu ada..ibu pasti berbangga dengan anak ibu ini. Matanya bergenang dengan air mata kala mengenangkan ibu dan ayahnya. Dia berjaya menghabiskan pengajiannya di Kolej Komuniti selama 2 tahun. Setelah tamat tempoh pengajiannya, dia terus ditawarkan kerja di firma arkitek yang menjadi tempat dia mencari duit lebih.

Rohana, bos nak jumpa sekarang.Lamunannya terhenti seketika.Baiklah, saya pergi sekarang.Majikannya itu sangat baik. Dia beruntung kerana sering di hantar berkursus ke luar dan dalam negara. Dia juga dibenarkan menyambung pengajiannya di peringkat diploma secara separuh masa dengan tajaan oleh syarikat tempat dia bekerja.

Assalamualaikum, Encik Haziq. Ada apa yang boleh saya bantu.Perlahan sahaja suaranya.

Duduk, Rohana. Begini, di tangan saya ada surat panggilan dari Kolej Komuniti. Mereka minta kamu jadi penceramah kursus anjuran mereka. Kamu sanggup? Saya rasa, kamu yang paling sesuai kerana kamu adalah graduan daripada sana.Tegas sahaja suara Encik Haziq.

Terdiam Rohana di kala diajukan soalan itu.Baiklah, Encik Haziq. Saya cuba.” Jawab Rohana.

Kenangan ketika belajar di Kolej Komuniti Sabak Bernam semakin jelas dalam ingatannya. Dia akan kembali semula ke pusat ilmu yang banyak berbakti dan menjadi titik perubahan hidupnya. Walaupun dia telah berpindah ke Kuala Lumpur, dia masih kembali ke Kolej Komuniti yang berdekatan untuk mengisi masa luangnya di hujung minggu. Kursus pendek yang ditawarkan sangat berguna untuk meningkatkan kemahirannya dalam menjahit manik. Walaupun dilakukan secara sambilan, pendapatan hasil jahit maniknya memberi pulangan yang lumayan.

“Kalaulah ibu masih ada, pasti aku mampu untuk memberi rawatan yang terbaik kepadanya”. Getus hati kecilnya.

Dia selesa dengan kehidupannya kini.  Rohana tersenyum sambil mengira hari untuk kembali ke Kolej Komuniti. “Memang Kolej Komuniti dekat dihatiku.” bisiknya perlahan dan terus menyambung kerja – kerja melukis pelan bangunan di mejanya.

Nukilan :

Zunairah Binti Abdul Ghani
Unit Pemprosesan dan Kawalan Mutu Makanan


Nota tangan: Ini karya kreatif setahun yang lalu. Cerpen pendek untuk satu pertandingan dalam kolej. Lama sudah tidak menulis begini. Dah baca, komen ye. Jika perlu tambah baik, sangat dialu - alukan. Ada niat nak panjangkan, namun masih cuba memburu masa terluang.

No comments:

Post a Comment