Wednesday, 23 October 2013

Langkah Demi Langkah Penghasilan Mee Kuning

Sebagai pensyarah kolej komuniti, saya memang selalu terlibat dalam program komuniti dan kelas - kelas hujung minggu. Banyak permintaan yang diterima kebanyakannya mahukan kaedah penghasilan mee kuning. Sebenarnya kaedahnya adalah mudah cuma mungkin perlukan sedikit kemahiran dan kefahaman dalam bidang pemprosesan hasil bijian. Di sini saya masukkan kaedah penghasilan mee kuning yang dilakukan oleh pelajar saya semester lepas dalam Pemprosesan Hasilan Bijian.

Bahan - Bahan Utama Penghasilan Mee Kuning

Tepung Gandum Protein Tinggi  - 1 Kg
Air                                            - 450 ml
Air Abu                                    - 32 ml
Garam                                      - 20g
Pewarna Kuning                        2 g
Minyak Masak secukupnya

Peralatan yang digunakan ialah mesin mee, mangkuk adunan, periuk, senduk, penapis dan peralatan lain yang dirasakan sesuai.

Kaedahnya

1. Tepung gandum diayak dahulu.Garam, pewarna kuning dan air abu dikacau larut.
2. Tepung gandum digaul dan diuli dengan air larutan garam dan air abu sehingga sebati.



 3. Adunan tadi dipiskan dahulu dan digelek dengan mesin penggelek sebanyak 4-5 kali.




4. Kemudian, barulah dipotong dengan mesin pemotong untuk menghasilkan mee. 

5. Rebus dengan air mendidih (30 - 40 saat) .Angkat apabila ia terapung dan toskan.


6. Cuci dengan air paip bagi menghilangkan kanji - kanji tepung yang ada.


7. Gaul mee kuning dengan minyak secukupnya. Mee sudah disiapkan. Boleh dibungkuskan jika untuk dijual setelah disejukkan. 

selamat mencuba

Dapatkan tips dan teknik menghasilkan mi kuning yang baik untuk industri kecil dengan menghadiri kursus pendek di Kolej Komuniti Sabak Bernam 

Sunday, 20 October 2013

Adakah lactose intolerance dan alergik susu, sama atau berbeza.

Kita selalu mendengar istilah alergik susu lembu, alergik susu kambing dan alergik susu soya tetapi apakah kita faham istilah setiap perkataan tersebut. Lactose intolerance atau tidak toleran dengan laktosa susu berkait rapat dengan semua istilah yang disebutkan sebelum ini.

Apakah itu lactose intolerance?

Lactose intolerance ialah ketidakupayaan untuk mencerna dan menyerap gula laktosa iaitu gula susu yang akan menyebabkan masalah pencernaan berlaku pada usus dan perut apabila pesakit makan makanan yang mengandungi susu.

Bagaimana lactose intolerance berlaku?

Molekul gula laktosa ada besar disebabkan ia adalah gabungan gula jenis glukosa dan galaktosa. Bagi menyerap dan mencerna laktosa di dalam sistem pencernaan, laktosa akan dipecahkan kepada dua gula kecil iaitu glokosa dan galaktosa. Walau bagaimanapun, masalah lactose intolerance berlaku disebabkan enzim pencerna laktosa iaitu laktase tiada atau kurang di dalam sistem pencernaan pesakit. Kekurangan atau ketiadaan laktase disebabkan sel yang menghasilkan enzim laktase tidak wujud sejak lahir disebabkan mutasi atau masalah usus kecil. Selain itu, enzim laktase tidak dikeluarkan dengan banyak disebabkan usus kita tidak dibiasakan dengan produk hasilan tenusu. Amalan makan produk hasilan tenusu perlu dimulakan sejak kecil lagi. Di dalam masyarakat Asia, hampir 100% menghadapi masalah lactose intolerance, American Indian 80%, masyarakat kulit hitam , 70%. Bagaimanapun masyarakat kaukasian hanya 20% sahaja. Secara puratanya, masyarakat Asia dikesan menghadapi masalaha ini sejak berusia 5 tahun.

Simptom - simptom lactose intolerance

  • sakit perut
  • cirit birit
  • kembung perut
  • pening dan loya
Bagaimanakah simptom - simptom ini berlaku?

Apabila laktosa ini tidak dicernakan oleh enzim laktase, ia akan dicernakan oleh mikroflora (bakteria) yang berada di dalam sistem pencernaan kita. Walau bagaimanapun, bakteria ini turut menghasilkan gas seperti hidrogen yang menyebabkan sakit perut atau kembung perut, perut berangin dan sebagainya.

Terdapat juga laktosa yang tidak dicernakan, dan menyebabkan ia cuba dikumuhkan oleh sistem pencernaan badan. Walau bagaimanpun, ketika berada di usus, ia akan mengambil air yang banyak untuk dikeluarkan sebagai najis menyebabkan cirit birit pada pesakit.

Masalah lactose intolerance ini bergantung dengan tubuh individu. Terdapat perbezaan yang ketara dari segi simptom bagi setiap individu .

Perbezaan antara allergy susu dengan lactose intolerance

Lactose intolerance bukan sejenis allergy. Allergy susu misalnya susu lembu disebabkan oleh tindak balas sistem imun badan terutamanya terhadap protein susu seperti kasein. Ia mungkin menyebabkan berlaku ruam dan masalah - masalah lain. Selalunya apabila allergy susu lembu, bayi tersebut akan allergy susu kambing dan juga biri - biri. Walau bagaimanapun, susu ibu masih boleh dikonsumi oleh bayi tersebut tanpa sebarang masalah. Simptomnya mungkin sama dengan simptom lactose intolerance tetapi ia sebenarnya berbeza dari segi puncanya. Allergy susu adalah biasa di kalangan bayi dan ia akan beransur pulih sekitar usia 2 hingga 3 tahun. Selepas tempoh itu, kanak - kanak boleh dibiasakan meminum susu tanpa had. Mulakan dengan amaun yang sedikit sehingga jumlah yang sepatutnya. Bayi yang allergy susu lembu juga , 13% daripadanya akan allergy daging lembu. Orang dewasa yang allergy susu hanya dalam 0.1% hingga 0.5% sahaja.

Pengalaman saya

Saya telah mengalami simptom lactose intolerance sejak kecil. Cuma saya tidak pasti, adakah saya sejak lahir tidak mempunyai sel yang merembes enzim laktase atau tidak. Ini kerana, ibu pernah mengatakan, saya diberi susu soya sedari kecil di samping susu ibu. Katanya saya alergik susu kerana tubuh saya akan naik ruam jika minum susu lembu, kambing dan seangkatan dengannya. Jadi saya diberikan susu berasaskan soya sejak kecil.

Tiap kali saya minum susu coklat , coklat susu, kek keju, kek krim coklat susu, aiskrim dan semua makanan hasilan tenusu saya akan mengalami semua simptom di atas. Teruk atau tidak bergantung dengan amaun yang saya ambil ketika itu. Baru - baru ini saya hanya minum sekotak susu kocak 250ml, dan saya mengalami cirit birit dan sakit perut selama 3 hari. Saya cuba mengurangkan masalah ini dengan minum air sebanyak mungkin dan mengekalkan kandungan bendalir dalam badan saya dengan mengambil Performance Drink keluaran Shaklee dan ia membantu untuk saya terus fokus dengan aktiviti harian saya.

Inilah yang saya hadapi mungkin sepanjang hayat saya. Saya pernah mencuba pendekatan menggunakan kaedah mencuba menaikkan aras amaun susu yang perlu dikonsumi setiap hari. Maknanya saya cuba melatih perut saya dengan minum susu supaya enzim laktase cuba dirembeskan. Dan ia masih dalam percubaan dan masih tidak berjaya walaupun ada kajian mengatakan proses itu berjaya.

Oleh itu saya mendapatkan sumber protein saya kebanyakannya daripada tumbuhan dan daging. Saya mengurangkan amaun kek keju yang saya ambil, sebab kalau saya paksa makan juga, sejurus selepas makan, saya pasti akan berada di tandas dua tiga kali. Selain itu, saya ada juga mengambil susu yang rendah laktosa atau tiada laktosa atau mempunyai bakteria yang membantu pencernaan laktosa seperti yoghurt.

Namun, sebagai pensyarah yang terlibat dalam bidang makanan, saya pasti tidak dapat mengelak daripada makan pizza dengan keju mozarella, kek coklat lembab, minuman susu kocak, homemade chocolate dan sebagainya. Saya sedia mengambil risiko kerana saya suka dengan mencuba makanan.

Kesimpulan

Lactose intolerance dan alergik susu adalah perkara yang berbeza cuma simptom nya hampir sama.



Thursday, 17 October 2013

Tips menentukan kesegaran daging haiwan berkaki empat

Apabila bercakap tentang daging, ia merupakan topik kegemaran saya kerana mungkin saya telah mengajar subjek Pemprosesan Hasil Daging dan Ayam hampir 5 tahun. Selama tempoh itu, saya amat jarang mengambil makanan berasaskan daging. Mungkin kerana hampir saban hari saya dijamu oleh pelajar dengan produk hasilan daging seperti patty burger, bebola daging dan sebagainya.

Sempena Hari Raya Aidiladha ini, saya akan menerangkan bagaimana untuk menentukan potongan daging tersebut baru disembelih atau sudah lama dipamerkan oleh penjual. Sifat protein daging yang unik sangat mengagumkan. Protein daging yang dikenali sebagai myoglobin berfungsi sebagai penentu tahap kesegaran daging.

Selalunya pengguna akan membeli daging yang berwarna merah cerah yang cantik. Warna merah cerah tersebut dikawal oleh myoglobin.Myoglobin akan bertindak balas dengan oksigen dari persekitaran menghasilkan sejenis bahan yang dinamakan oksimyoglobin. Kehadiran pigmen inilah yang menyebabkan warna daging bewarna merah cerah.

Namun , kandungan oksigen yang bertindak balas dengan myoglobin sebaik sahaja haiwan disembelih adalah kurang. Ini menyebabkan warna daging seakan merah kebiruan atau merah keunguan. Jangan takut untuk memilih daging bewarna merah keunguan kerana ia menunjukkan daging tersebut baru disembelih.

 Kandungan oksigen yang berlebihan pula atau terlampau lama didedahkan terhadap daging akan merubah warna daging menjadi merah perang atau merah kehitaman. Ini menunjukkan protein daging sudah teroksida dengan oksigen. Ia merupakan indikator daging tersebut sudah lama dipamerkan oleh penjual pasar basah.

Walau bagaimanapun, terdapat kaedah yang dilakukan oleh peniaga daging untuk menarik pengguna untuk membeli daging merah yang cantik. Para peniaga tersebut menggunakan lapisan oksigen yang telah dikawal kandungan oksigennya. Ini menyebabkan daging kekal dengan warna merah cerah untuk beberapa tempoh ketika dipamerkan kepada pengguna. Anda boleh mencuba membeli daging yang telah dikelaskan dan dibungkus di pasaraya - pasaraya besar tempatan. Mereka menggunakannya pada potongan daging yang telah dibungkus rapi.

Kata kuncinya, pilih daging yang bewarna merah keunguan dan merah cerah untuk daging yang segar.

Wednesday, 16 October 2013

Testimoni Kelas Asas Blog & Fanpage

Di tengah malam seperti waktu sekarang ini , baru saya berpeluang mencuba hobi baru. Semuanya bermula apabila saya memasuki Kelas Asas Blog & Fanpage kelolaan Pn Zaila Mohamad. Saya ingat mudah sahaja untuk menulis blog. Rupanya ia mempunyai etika dan gaya sebagai seorang penulis blog. Sebagai pensyarah saya biasa menulis dan itulah kerja saya setiap hari menulis. Namun tidaklah sehingga berblog dan menulis secara santai begini. Saya biasa menulis perkara - perkara yang rasmi dan lebih akademik.Jadi apabila dianjurkan oleh jabatan saya dalam penylisan kreatif, saya fikir blog merupakan asas untuk membina daya kreatif sebagai seorang penulis.

Kelas Asas Blog dan Fanpage ini memberi peluang kepada saya untuk meneroka alam siber yang semakin canggih dan luas.Tugasan yang diberikan secara online, mengikut masa saya sebagai penjawat awam, isteri , ibumdan pengedar bebas Shaklee memudahkan saya. Tidak perlu menghadiri kelas secara nyata kerana jadual saya di siang hari sebagai pendidik adalah sangat penuh. Pergi kerja pukul 7 pagi , pulang 7 malam . Mujur pejabat dekat dengan rumah. Yuran yang dikenakan berpatutan kerna anda tak mungkin belajar sehari terus pandai berblog. Jadi anda mungkin perlukan berbulan - bulan untuk berjaya sebagai penulis blog yang baik dan yang paling seronok saya tak perlu menghadiri peperiksaan. :)

Apabila saya berjaya menyelesaikan tugasan yang diberikan, guru online saya akan memantau secara online juga dan memberi tunjuk ajar secara online. Mudah bukan! Kelas ini sangat disyorkan kepada yang mahu berjinak - jinak dalam perniagaan online. Kena daftar sebagai pelajar baru tahu.

Asas pengiklanan secara online pun diajarkan juga. Harapan saya, blog saya akan menjadi pilihan pembaca dan saya akan sentiasa berguru untuk meneroka alam blog dengan lebih jauh. Terima kasih cikgu Zaila.

Untuk hubungi cikgu Zaila boleh terus ke FB beliau atau laman blog kelolaan beliau http://zailabinimdae.blogspot.com/.

Tips diet seimbang bermula dengan sarapan yang hebat

Anda akan mempunyai hari yang hebat jika anda bermula dengan sarapan yang bagus. Kenapa saya berkata begitu? Ini disebabkan oleh sarapan merupakan penunjuk yang hebat tentang pola pemakanan anda setiap hari. Jadi anda haruslah mengambil sarapan yang bertenaga tinggi, sihat dan seimbang untuk memberikan anda tenaga sepanjang hari dan nutrien yang diperlukan oleh tubuh supaya cergas dan cerdas sepanjang pagi.

Ada pepatah mengatakan "Sarapan pagi perlu makan seperti Raja, Makan Tengahari perlu makan seperti Permaisuri dan Makan Malam p, perlu makan seperti pengemis". Anda faham tak maksudnya di sebalik pepatah tersebut? Sebagai seorang Raja, kita akan makan makanan yang paling baik , paling selamat, paling bagus berbanding makanan lain. Cuba perhatikan raja - raja dahulu. Sama juga seperti makanan untuk makan tengahari. Haruslah terbaik dan menyihatkan. Makan Malam seperti pengemis, maknanya bukan makan makanan yang tidak sihat tetapi sedikit sahaja yang perlu untuk dijamah sebagai menu makan malam.

Berikut adalah beberapa tips yang anda boleh ikuti untuk memilih kombinasi makanan bagi sarapan yang sihat.

Oat 
Oat segera untuk sarapan adalah sangat bagus kerana ia mengandungi serat dan vitamin. Namun begitu, pilihlah oat yang belum diproses dengan gula kerana ia lebih sihat . Gantikan gula tersebut dengan kismis atau pun buah - buahan segar. Contoh sarapan yang menggunakan oat dan potongan buah segar serta kismis ialah muesli.









100% bijian penuh



Bijirin yang kaya dengan serat yan mengandungi seratus peratus bijian penuh dan dihidangkan dengan susu rendah atau bebas lemak atau pun dihidangkan bersama susu soya adalah alternatif yang lebih sihat berbanding dengan bijirin yang manis. Ia juga dapat membekalkan kalsium yang diperlukan oleh badan. Mufin bijian gandum penuh dengan pisang pun merupakan satu kombinasi yang bagus untuk sarapan.




Kekacang

Makan roti bakar atau roti gandum bersama mentega kacang adalah cara yang baik untuk mendapatkan protein dan serat. (Ada masa, saya akan ajar anda cara menghasilkan mentega kacang anda sendiri. Sangat mudah.)







Buah - buahan



Kombinasi buah - buahan segar dan yoghurt rendah atau bebas lemak adalah sangat bagus untuk sarapan. Menikmati kombinasi tersebut bersama roti bakar, wafel, atau pun di dalam sandwich mentega kacang akan memberikan anda serat dan protein yang banyak.






Jem


Apa kata anda makan roti yang disapu dengan jem buah - buahan bersama hirisan buah segar untuk sarapan ketika mengahrungi kesesakan lalu lintas? Cepat dan senang untuk disediakan!








Telur
Walaupun telur terkanal dengan kandungan kolesterolnya yang tinggi, namun tidak dinafikan bahawa telur dapat memberikan jumlah protein yang cukup untuk mengharungi hari anda.






Smoothie
Bersarapan dengan smoothie kini merupakan satu trend terbaru. Biasanya untuk membuat smoothie, buah - buahan seperti beri dan pisang akan dikisar bersama yoghurt rendah atau bebas lemak dan jus buah - buahan. Coklat juga boleh ditambah ke dalam campuran smoothie tersebut. Ia bukan sahaja sedap, malah minuman tersebut penuh dengan nutrisi seperti antioksidan dari buah - buahan.




Sarapan pagi saya kebiasaannya saya akan mulakan dengan campuran milo dan serbuk protein soya non GMO dari Shaklee iaitu ESP yang rendah indeks glisemiknya. Ia sudah cukup mengenyangkan saya sehingga tempoh rehat pukul 10 pagi. Namun, kalau saya mempunyai perkara yang menyebabkan saya tidak boleh rehat pada tempoh tersebut, saya akan mengambil sarapan pagi dengan makanan yang sangat mengenyangkan sehingga tiba waktu makan tengahari. Tubuh anda, anda yang bina. Tubuh anda, anda yang tahu keperluannya. Jom sihat!