Wednesday 21 May 2014

Betulkah bangsa kita macam ni?

Gurindam ini saya ambil dari karya Ahmad Fedtri Yahya yang menulis dalam GenQ edisi ke 6.Saya kongsikan sempena sambutan hari guru pada bulan Mei ini. Sesungguhnya menjadi pendidik masyarakat adalah tugas yang berat. Mungkin gurindam ini ada benarnya. Mehnah dan tribulasi yang tertimpa ke atas golongan pendidik memerlukan semangat untuk mengatasi setiap cobaannya.



Sorong papan tarik papan,
Buah keranji dalam perahu,
Suruh makan dia makan,
Suruh mengaji dia tak tahu.

Burung terbang dibawa angin,
Tepian telaga sebentar singgahnya;
Suruh menyanyi amboi bukan main,
Suruh membaca masam mukanya.

Daun palas di hujung paya,
Jatuh menimpa akar tembusu;
Dalam kelas bisingnya dia,
Ditanya guru diam membisu.

Langit membiru awan bertali,
Kuntum bunga dihembus pawana;
Berbaju seksi ligat sekali,
Baju kurung entah ke mana.

Kerongsang merah ada di baju,
Corak lama bunga cempaka;
Pergi ke konsert betapalah laju,
Suruh ke masjid berubahlah muka.

Di atas para debuan arang,
Kain belacu hitam jadinya;
Makan gelojoh tak peduli orang,
Sendawa kuat mana sopannya.

No comments:

Post a Comment