Tuesday, 16 September 2014

Selamat Hari Malaysia

Sempena kehadiran 16 September ini, saya kongsikan esei yang saya menangi di program Semarak Merdeka Wilayah Selangor di Kolej Komuniti Selayang. (Sebenarnya saya tiada cerita yang best bertema patriotik hari ini). Tajuk esei ialah "Masyarakat Merdeka Pencetus Ketamadunan Bangsa".Idea menulis tiba pada tengah malam tarikh tutup pertandingan esei. Maklumlah, unit tiada wakil ketika itu, jadi saya hantar untuk melengkapkan penyertaan. Saya berharap ia dapat menyuntik rasa patriotik dalam diri. Tak tahulah kenapa, dah tua - tua macam ni, baru rasa nak masuk bertanding menulis. Awas, esei ini adalah sangat formal dan akademik. Saya hasilkan dalam bilik tidur, di tengah malam, dalam gelap, tanpa buku rujukan. Oleh itu saya berharap sangat, fakta yang diberikan adalah betul dan tepat. Maafkan saya dan tegurlah saya jika terdapat kekurangan. Yang pasti, ia bukan cerpen atau pun angan - angan, ia adalah terjemahan rasa cinta saya terhadap negara saya, Malaysia. Gitewww.



Bangsa merdeka bangsa berjaya. Kata – kata ini sering kita baca dalam artikel penulisan bertema kenegaraan. Tidak dinafikan, apabila jiwa sesuatu bangsa itu bebas dan tidak dibelenggu dengan pelbagai masalah, individu tersebut akan merangcang suatu pelan usaha untuk meningkatkan martabat diri. Analogi yang paling mudah ialah, seseorang yang bebas belenggu hutang, tidak dikejar along, peminjam berlesen seperti bank dan pemiutang akan mudah melaksanakan perancangan kewangannya tanpa pengaruh dan arahan sesiapa pun. “Duit saya, sayalah yang akan membelanjakannya mengikut kehendak saya”.Begitu jugalah yang akan berlaku kepada negara yang bebas dari penjajahan bangsa lain. Negara tersebut akan membelanjakan hasil kekayaan buminya untuk kebaikan negaranya tanpa rasa takut – takut kerana sudah pasti tiada kongkongan dari mana – mana negara lain.
Jadi, jika sesebuah negara yang bebas merdeka tersebut bijak mengendalikan sumber pendapatannya, sudah pasti negara tersebut mampu menggerakkan dan meningkatkan taraf kehidupan penduduknya. Bangsanya pasti berasa bangga dengan negaranya untuk meningkatkan tahap kecemerlangan negara tersebut di mata dunia. Pendek kata, apabila keperluan utama seperti, makan pakai dan tempat tinggal dipenuhi dengan bonus kestabilan ekonomi dan suasana aman damai,hak rakyat dipenuhi dengan baik, peningkatan taraf negara meningkat menjadi negara maju. Slogan seperti ‘Malaysia Boleh’ merupakan penunjuk Malaysia telah menyelesaikan masalah makan pakai , tempat tinggal setiap rakyatnya. Pastinya, tiada peperangan yang berlaku. Rakyat bebas melakukan urusan harian tanpa perasaan takut.
            Jika ditulis, senarai panjang tentang kejayaan Malaysia sangat tidak terkira banyaknya. Malaysia berjaya menghasilkan jenama automobil yang bertahan hingga kini. Jenama Petronas antara jenama kebanggaan nasional. Petronas bukan sahaja gah di tanah air, malahan ia gah di persada antarabangsa sebagai syarikat carigali minyak yang setanding dengan jenama antarabangsa yang lain. Petronas turut mengukir nama sebagai penyumbang atau penaja , penggerak sukan permotoran yang berprestij dunia seperti Formula One, Grand Prix dan Formula Three. Pada satu tahap, syarikat Malaysia ini menjalinkan kerjasama untuk membantu menaik taraf negara – negara membangun yang lain.
            Selain itu, kewujudan satelit sendiri seperti Razak-Sat dan Measat boleh menunjukkan Malaysia mengurangkan kebergantungan terhadap negara – negara kuasa besar. Titik mula kejayaan Malaysia bermula dari tarikh pembebasan dari penjajahan Inggeris ke atas Tanah Melayu seterusnya bergabung dengan Sabah dan Sarawak. Pelbagai siri kejayaan  yang cemerlang oleh Malaysia telah ditunjukkan hingga menjadi negara contoh untuk negara – negara membangun. Wawasan 2020, Pelan Pembangunan dan Dasar – Dasar Kerajaan menjadi penunjuk usaha untuk meneraju dan menjadi landasan pembinaan tamadun bangsa Malaysia.
            Namun begitu, kejayaan – kejayaan tersebut tidak datang bergolek. Ia dibayar dengan harga yang sangat mahal iaitu bebas merdeka. Bayaran yang mahal juga dengan darah serta keringat para pejuang kemerdekaan sejak zaman penaklukan Portugis di Melaka. Jadi, sangat wajar generasi sekarang menghargai dan berusaha meningkatkan nilai diri, agar menjadi bangsa berjaya, tidak bergantung harap dengan orang lain, tidak mengharapkan bantuan dan kemudahan semata – mata dan tidak mensia –siakan keharmonian yang dinikmati sekarang. Angin – angin perpecahan perlu dielakkan. Cari punca penyatuan bangsa dan teguhkan dengan bijaksana. Janganlah menjadi bangsa minda kelas ketiga biarpun fasilitinya kelas pertama. Semoga Malaysia terus aman, makmur dan berjaya

No comments:

Post a Comment