Bangsa
merdeka bangsa berjaya. Kata – kata ini sering kita baca dalam artikel
penulisan bertema kenegaraan. Tidak dinafikan, apabila jiwa sesuatu bangsa itu
bebas dan tidak dibelenggu dengan pelbagai masalah, individu tersebut akan
merangcang suatu pelan usaha untuk meningkatkan martabat diri. Analogi yang
paling mudah ialah, seseorang yang bebas belenggu hutang, tidak dikejar along,
peminjam berlesen seperti bank dan pemiutang akan mudah melaksanakan perancangan
kewangannya tanpa pengaruh dan arahan sesiapa pun. “Duit saya, sayalah yang
akan membelanjakannya mengikut kehendak saya”.Begitu jugalah yang akan berlaku
kepada negara yang bebas dari penjajahan bangsa lain. Negara tersebut akan
membelanjakan hasil kekayaan buminya untuk kebaikan negaranya tanpa rasa takut
– takut kerana sudah pasti tiada kongkongan dari mana – mana negara lain.
Jadi,
jika sesebuah negara yang bebas merdeka tersebut bijak mengendalikan sumber
pendapatannya, sudah pasti negara tersebut mampu menggerakkan dan meningkatkan
taraf kehidupan penduduknya. Bangsanya pasti berasa bangga dengan negaranya
untuk meningkatkan tahap kecemerlangan negara tersebut di mata dunia. Pendek
kata, apabila keperluan utama seperti, makan pakai dan tempat tinggal dipenuhi
dengan bonus kestabilan ekonomi dan suasana aman damai,hak rakyat dipenuhi
dengan baik, peningkatan taraf negara meningkat menjadi negara maju. Slogan
seperti ‘Malaysia Boleh’ merupakan penunjuk Malaysia telah menyelesaikan
masalah makan pakai , tempat tinggal setiap rakyatnya. Pastinya, tiada
peperangan yang berlaku. Rakyat bebas melakukan urusan harian tanpa perasaan
takut.
Jika ditulis, senarai panjang
tentang kejayaan Malaysia sangat tidak terkira banyaknya. Malaysia berjaya
menghasilkan jenama automobil yang bertahan hingga kini. Jenama Petronas antara
jenama kebanggaan nasional. Petronas bukan sahaja gah di tanah air, malahan ia
gah di persada antarabangsa sebagai syarikat carigali minyak yang setanding
dengan jenama antarabangsa yang lain. Petronas turut mengukir nama sebagai
penyumbang atau penaja , penggerak sukan permotoran yang berprestij dunia
seperti Formula One, Grand Prix dan Formula Three. Pada satu tahap, syarikat
Malaysia ini menjalinkan kerjasama untuk membantu menaik taraf negara – negara
membangun yang lain.
Selain itu, kewujudan satelit
sendiri seperti Razak-Sat dan Measat boleh menunjukkan Malaysia mengurangkan
kebergantungan terhadap negara – negara kuasa besar. Titik mula kejayaan
Malaysia bermula dari tarikh pembebasan dari penjajahan Inggeris ke atas Tanah
Melayu seterusnya bergabung dengan Sabah dan Sarawak. Pelbagai siri
kejayaan yang cemerlang oleh Malaysia
telah ditunjukkan hingga menjadi negara contoh untuk negara – negara membangun.
Wawasan 2020, Pelan Pembangunan dan Dasar – Dasar Kerajaan menjadi penunjuk
usaha untuk meneraju dan menjadi landasan pembinaan tamadun bangsa Malaysia.
Namun begitu, kejayaan – kejayaan
tersebut tidak datang bergolek. Ia dibayar dengan harga yang sangat mahal iaitu
bebas merdeka. Bayaran yang mahal juga dengan darah serta keringat para pejuang
kemerdekaan sejak zaman penaklukan Portugis di Melaka. Jadi, sangat wajar
generasi sekarang menghargai dan berusaha meningkatkan nilai diri, agar menjadi
bangsa berjaya, tidak bergantung harap dengan orang lain, tidak mengharapkan
bantuan dan kemudahan semata – mata dan tidak mensia –siakan keharmonian yang
dinikmati sekarang. Angin – angin perpecahan perlu dielakkan. Cari punca
penyatuan bangsa dan teguhkan dengan bijaksana. Janganlah menjadi bangsa minda
kelas ketiga biarpun fasilitinya kelas pertama. Semoga Malaysia terus aman,
makmur dan berjaya
No comments:
Post a Comment