Saturday, 26 October 2013

Catatan perjalanan 3 hari 2 malam ke Terengganu dan Kelantan

Baru - baru ini suami mengajak saya mengikuti rombongan sekolahnya sempena program hari keluarga. Jadi saya telah mengambil cuti untuk makan angin dengan anak - anak. Maklumlah sebelum hari perjalanan ke Terengganu, saya masih terlibat dengan program rasmi kolej di mana kolej sebagai penganjur. Kami sangat sibuk sepanjang minggu itu. Jadi ketika suami melontarkan idea untuk bercuti hingga ke Kelantan, saya memang bagai orang mengantuk disorongkan bantal bila diajak begitu.

Kami mengambil keputusan untuk tidak menaiki bas rombongan untuk keselesaan anak - anak, memandangkan situasi perjalanan yang agak jauh. Lebih kurang pukul 3 petang ,hari Jumaat, kami bertolak dari Pekan Sabak Bernam. Sepanjang perjalanan , cuaca agak mendung. Tiba di  MRR2 berdekatan dengan Plaza Tol Gombak, hujan semakin lebat. Kami mengambil keputusan untuk berhenti di Stesen minyak Petronas sebelum meneruskan perjalanan ke Tol Gombak. Setelah selesai urusan urus diri dan anak - anak, kami meneruskan perjalanan ke pantai timur. Hari semakin gelap. Hujan pula semakin lebat. Kenderaan semakin banyak mungkin kerana sudah lewat petang dan waktu orang pulang dari pejabat.

Menjadi kebiasaan kepada suami, apabila hendak melakukan perjalanan jauh, dia akan mengambil multivitamin Shaklee iaitu Vitalea bagi menambah tenaga dan mengurangkan rasa ngantuk ketika memandu. Jadi sepanjang perjalanan, saya boleh lihat, dia lebih cergas dan fokus ketika memandu.

Jam 6.45 petang lebih kurang, kami tiba di R&R Temerloh. Biasalah , bila ada anak kecil, memang kita akan kerap berhenti. Tempat ini menggamit kenangan lama ketika saya berulang alik ke Terengganu ketika berkhidmat sebagai pendidik di Ketengah Jaya. Ketika itu, Lebuharaya pantai timur ini baru sahaja dibuka dan percuma kepada pengguna selama sebulan. Kedai - kedai di  R&R Temerloh boleh dibilang dengan jari. Kini ia penuh dengan khemah jualan di merata - rata. Semakin meriah.

Akhirnya setelah menempuh perjalanan selama 9 jam, kami tiba di Terengganu Equestrian Resort (TER) , Kuala Terengganu pada pukul 12.00 tengah malam. Bilik yang disediakan sederhana, cukup selesa untuk saya sekeluarga.Harganya berpatutan RM100.00 semalam. Berhawa dingin, katil king. Bilik airnya luas.Ada balkoni untuk menjamu mata pandangan yang cantik. Lokasi TER ini berdekatan dengan Masjid Kuala Ibai.Bersebelahan dengan pantai.



Pagi - pagi semasa mahu bersarapan anak - anak dah menjerit kekaguman dapat melihat kuda polo di sekeliling TER. Kuda - kuda ini dibawa bersiar - siar di sekeliling TER yang merupakan aktiviti harian kuda jika tiada perlawanan. Seronok juga kalau ada perlawanan polo. Insya Allah , kami akan datang lagi untuk melihat sendiri perlawanan polo.


Jadual hari Sabtu dipenuhi dengan lawatan ke Pasar Payang dan Masjid Kristal. Antara tarikan pelancongan ke Terengganu. Sempat juga membeli buah tangan untuk dibawa balik.



Kembali ke tempat penginapan, anak - anak lebih berminat dengan kuda - kuda di stable. Khaulah menjerit - jerit, "ude..ude..". Anas pula merenung tajam kuda - kuda yang ada.Geram agaknya.

Inilah marimar. Cantikkan!

Semasa di TER, kami terserempak dengan Marimar, kuda polo yang sangat cantik, milik Sultan Terengganu. Anas memang tak melepaskan peluang mengusap dan membelai kuda.Tersenyum puas lagaknya. Khaulah, hanya menjerit - jerit memanggil kuda tapi masih takut hendak memegang dan membelai kuda. Geli katanya.Macam - macam kerenah anak  - anak. Pada saya, TER tempat persinggahan yang lengkap dan sesuai untuk seisi keluarga. Ada taman rekreasi, ada kandang kuda, ada kompleks sukan yang mempunyai tempat permainan bowling, squash, kolam renang dan gelanggang badminton. Bayaran yang dikenakan pun berbaloi dan setimpal.



Pada hari Ahad, kami bergerak ke Jerteh untuk singgah mengambil adik perempuan pulang bercuti.Oleh kerana Jerteh sudah bersempadan dengan Kelantan, kami merancang untuk jalan - jalan sekitar Kelantan.
Kagum melihat semua papan tanda bertulisan jawi. Ini baru memartabatkan budaya bangsa.

Singgah di pekan Melor untuk bertemu rakan sepejabat yang baru melahirkan anak lelaki. Kami bermalam di hotel budget di Kota Bharu. Tidak sabar rasanya nak mulakan perjalanan hari esok.
comel kan.


Awal - awal pagi, kami telah bergerak ke Pasar Siti Khadijah. Meriah sungguh Pasar Siti Khadijah. Geram rasanya melihat varieti makanan tempatan yang ada. Macam nak cuba semua. Sempat juga bersarapan di gerai - gerai berhadapan Pasar Siti Khadijah. Saya memang tak lepaskan peluang untuk menikmati nasi dan lauk pauk tempatan seperti kerutuk daging, akok, jala mas dan macam - macam lagi. Ada juga kuih kegemaran saya yang semakin sukar dijumpai di pasar - pasar tempatan iaitu kuih tepung bungkus.
suami beli RM5.00 .Tak tahu berapa biji akok ni.Tapi sangat banyak dan habis sepanjang perjalanan.


Perjalanan diteruskan ke Rantau Panjang. Ada tarikan menarik iaitu Masjid Beijing dan pastinya barangan yang murah di Rantau Panjang. Penuh juga kereta dengan hasil belian kami di Rantau Panjang. Berpandukan GPS , kami ke Bukit Bunga. Meriah sepanjang jalan. Kami singgah makan tengahari gulai itik. Sempat meninjau pelbagai barangan yang dijual di Bukit Bunga. Namun disebabkan kesuntukan masa, kami bergerak pulang ke Sabak Bernam dengan melalui pekan Gerik, Kuala Kangsar dan Teluk Intan. Anak - anak tidur keletihan. Kami tiba di Sabak Bernam, sekitar jam 9 malam. Sayang sekali perjalanan ke Kelantan, tiada rakaman peristiwa yang dapat saya lakukan lantaran bateri kamera sudah habis. Sayangkan.Namun semua kenangan cuti - cuti bersama keluarga pasti tersemat di dalam memori.




2 comments:

  1. Replies
    1. mmg best.lupa sekejap kerja2 di pejabat. kelantan belum teroka habis.insya Allah,akn pergi lagi.

      Delete