Apabila bercakap tentang daging, ia merupakan topik kegemaran saya kerana mungkin saya telah mengajar subjek Pemprosesan Hasil Daging dan Ayam hampir 5 tahun. Selama tempoh itu, saya amat jarang mengambil makanan berasaskan daging. Mungkin kerana hampir saban hari saya dijamu oleh pelajar dengan produk hasilan daging seperti patty burger, bebola daging dan sebagainya.
Sempena Hari Raya Aidiladha ini, saya akan menerangkan bagaimana untuk menentukan potongan daging tersebut baru disembelih atau sudah lama dipamerkan oleh penjual. Sifat protein daging yang unik sangat mengagumkan. Protein daging yang dikenali sebagai myoglobin berfungsi sebagai penentu tahap kesegaran daging.
Selalunya pengguna akan membeli daging yang berwarna merah cerah yang cantik. Warna merah cerah tersebut dikawal oleh myoglobin.Myoglobin akan bertindak balas dengan oksigen dari persekitaran menghasilkan sejenis bahan yang dinamakan oksimyoglobin. Kehadiran pigmen inilah yang menyebabkan warna daging bewarna merah cerah.
Namun , kandungan oksigen yang bertindak balas dengan myoglobin sebaik sahaja haiwan disembelih adalah kurang. Ini menyebabkan warna daging seakan merah kebiruan atau merah keunguan. Jangan takut untuk memilih daging bewarna merah keunguan kerana ia menunjukkan daging tersebut baru disembelih.
Kandungan oksigen yang berlebihan pula atau terlampau lama didedahkan terhadap daging akan merubah warna daging menjadi merah perang atau merah kehitaman. Ini menunjukkan protein daging sudah teroksida dengan oksigen. Ia merupakan indikator daging tersebut sudah lama dipamerkan oleh penjual pasar basah.
Walau bagaimanapun, terdapat kaedah yang dilakukan oleh peniaga daging untuk menarik pengguna untuk membeli daging merah yang cantik. Para peniaga tersebut menggunakan lapisan oksigen yang telah dikawal kandungan oksigennya. Ini menyebabkan daging kekal dengan warna merah cerah untuk beberapa tempoh ketika dipamerkan kepada pengguna. Anda boleh mencuba membeli daging yang telah dikelaskan dan dibungkus di pasaraya - pasaraya besar tempatan. Mereka menggunakannya pada potongan daging yang telah dibungkus rapi.
Kata kuncinya, pilih daging yang bewarna merah keunguan dan merah cerah untuk daging yang segar.
No comments:
Post a Comment