Saturday, 18 January 2014

Cinta buku membina generasi berilmu

Tatkala menghadiri seminar jom menulis buku, ia seolah - olah membuka mata saya tentang kepentingan menulis buku. Pertamanya, kita perlu menulis untuk meneruskan legasi ilmu. Negara - negara yang maju, kebanyakan merupakan mempunyai penulis yang ramai dengan jumlah terbitan buku yang banyak. Ketinggian ilmu seseorang itu diukur dengan tahap dan daya fikir seseorang memproses maklumt dengan membaca banyak buku. Namun dengan kewujudan pelbagai media penyebaran ilmu secara elektronik, buku dilihat semakin tenggelam fungsinya.



Pada pendapat saya, kewujudan buku secara fizikal masih sangat penting dan tidak dapat ditandingi oleh penyebaran ilmu secara elektronik. Buku secara fizikal, dapat disimpan, dan dirujuk saat ia diperlukan dengan segera. Buku elektronik memerlukan gajet atau alat - alat yang sesuai dengannya. Paling penting, ia mungkin tidak dapat dimiliki oleh semua pihak. Hakikatnya, ilmu perlu disebarkan untuk semua. Hatta Al Quran sekalipun, ia dibukukan untuk meneruskan legasi ilmu.

Malah, peningkatan ilmu dalam perkembangan minda kanak - kanak masih memerlukan buku secara fizikal. Berapa banyak kajian yang telah dilakukan menunjukkan, buku secara elektronik atau penyebaran ilmu secara elektronik tidak dapat mengekalkan momentum kanak - kanak dalam menghargai ilmu. Bahasa mudahnya, jika kanak - kanak diberikan pilihan, antara buku  'pop up' dengan imej 2D dan media ilmu dengan 3D, pasti penggunaan buku secara 2D lebih kekal dan lebih cepat ditangkap oleh kanak - kanak tersebut berbanding dengan imej 3D secara elektronik.


Bak kata ibu saya, kanak - kanak tak perlu diajar guna gajet elektronik pun tak apa, pasti mereka pandai sendiri menggunakannya. Yang penting, tanam dulu cinta mereka dengan buku. Asas membaca juga sangat  penting dengan buku secara fizikal. Buku, boleh dibaca dengan pelbagai gaya. Gaya pembacaan dan imaginasi ditentukan oleh kita sendiri.

Umpama saya ketika membaca buku novel, ia sangat menyeronokkan kerana, saya boleh berimaginasi dengan watak - watak di dalam novel dengan gaya saya sendiri. Apakah, saya mampu berimaginasi jika novel digarap dengan medium 3D? Otak kita telah ditetapkan untuk menerima secara total, apa yang telah dipertontonkan dengan imaginasi  seorang pengarah filem mungkin. Saya tidak menolak dengan kewujudan medium elektronik dalam penyebaran ilmu tetapi buku fizikal masih perlu sebagai langkah pertama untuk membina daya fikir dan imaginasi seorang kanak - kanak. Medium elektronik pula boleh dijadikan sebagai alat pengukuhan ilmu bukan sebagai medium utama.

Apakah kita sanggup membiarkan anak - anak kita, seawal usia 4 hingga 5 tahun menggunakan alat bantuan melihat seperti cermin mata dek kerana pendedahan terlampau lama terhadap komputer, televisyen, video, tablet dan sebagainya. Rasanya semua tahu, mata seorang dewasa perlu direhatkan setelah menonton atau mengadap komputer secara berterusan selama 2 jam. Jadi bagaimana pula dengan mata kanak - kanak? Mana lebih baik? Membaca dari gajet elektronik selama 24jam berterusan atau membaca dari buku secara fizikal selama 24jam.

Selain itu, saya melihat proses didikan yang dilakukan oleh kedua orang tua saya semasa kecil. Ketika umur 9 tahun, baru rumah saya ada televisyen. Bukan kerana kami orang miskin kerana bapa saya seorang pensyarah dan ibu saya seorang guru ketika itu. Jadi saya fikir, mereka mampu untuk memiliki tv pada ketika itu, namun saya pasti mereka sengaja melakukannya. Jadi, ruang waktu yang ada, aktiviti kami dipenuhi dengan bermain, membaca buku,menghasilkan bendera kertas, origami, bermain anak patung dari lampin kain, membina bangunan atau apa sahaja dengan 'H' 'H' (permainan seperti lego tetapi berbentuk H) bagi membentuk daya fikir dan imaginasi kami. Memang, ketika kecil, jika saya meminta untuk membeli buku, hatta ia mahal sekalipun, pasti ia ditunaikan dengan segera berbanding dengan perkara lain. Hasilnya, anak - anak kini menjadi 'orang'. Saya pasti penerapan kecintaan kepada ilmu dan buku adalah jawapannya. Semestinya, gaya didikan mereka saya ikuti kerana tindakan itu berjaya dan telah menunjukkan hasil dan disesuaikan dengan keadaan dan zaman sekarang. Rumah saya mempunyai tv namun, ia jarang - jarang sekali dibuka. Hanya beberapa jam seminggu dan ia boleh dibilang dengan jari. Kesimpulannya, buku secara fizikal perlu menjadi medium utama dalam mendidik dan merencana kejayaan anak - anak. 'Let them feel, imagine and explore' kerana kita perlu mengajar mereka survival hidup bukannya menyuap dan memanjakan mereka. 'Let them being human'.

Bagi sebarang komen atau teguran, sila emailkan kepada saya zunairahagi@gmail.com

Untuk mendapatkan produk Shaklee, boleh whatsapp @ sms saya 012-2248189 @ email saya zunairahagi@gmail.com.

No comments:

Post a Comment