Wednesday, 18 June 2014

Program Pemprosesan Makanan di Kolej Komuniti Sabak Bernam

Bidang pemprosesan makanan selalunya dianggap kerjaya tidak glemer kerana berada di belakang tabir. Namun sebenarnya bidang ini lebih luas dan mempengaruhi setiap inci penghasilan produk makanan yang berada di pasaran. Tanpa mengetahui kaedah pemprosesan makanan yang betul dan selamat, penghasilan makanan seperti patti burger, bebola daging, mi kuning, laksa, bihun, tauhu, kek, hasilan buah seperti jem, sos cili dan segala macam jeruk, produk makanan yang dihasilkan pastinya tidak mampu memenuhi arus zaman yang serba cepat ini.



Berdasarkan pengalaman hampir 10 tahun dalam bidang pengajaran pemprosesan makanan ini, kerjaya di dalam bidang ini terbuka luas hingga ke luar negara. Anda tidak perlu glamor seperti masterchef namun anda boleh mewujudkan tren makanan yang ada di pasaran. Dahulu hanya ada satu teknik tradisional untuk menghasilkan cendol, namun sekarang ini ada pelbagai ragam cendol. Penggunaan santan selain santan kelapa juga ada misalnya penggunaan santan sawit. Ia disebabkan perkembangan sains makanan dan kaedah pemprosesan makanan.

Terdapat chef - chef yang membuat wang dengan hanya mengajar teknik menghasilkan air soya, tauhu manis atau taufu fah, tauhu keras dan pelbagai produk hasilan pemprosesan makanan kerana permintaan tinggi yang terdapat di pasaran. Alangkah ruginya ilmu yang seperti ini tidak direbut peluangnya. Di Kolej Komuniti Sabak Bernam, telah lama menawarkan program sijil Pemprosesan dan Kawalan Mutu Makanan. Bukan sekadar proses makanan sahaja, namun pelajar juga didedahkan teknik secara tersusun untuk mengawal kualiti penghasilan makanan. Semua orang boleh menghasilkan produk, namun hanya segelintir sahaja yang mampu mengekalkan kualiti produk tersebut.

Misalnya, dalam pemprosesan produk makanan seperti kek, melalui istilah pemprosesan makanan dengan unsur teknologi makanan, tiada istilah masak 'campak - campak' terus jadi. Ini kerana, ukuran bahan yang tepat bagi penghasilan setiap produk dilakukan dengan betul. Teknik dan kuantiti bahan yang sama akan menghasilkan produk dengan berat serta bentuk yang sama. Hinggakan warna turut diambil kira. Pernahkah anda membeli biskut di dalam tin dengan warna pembakaran yang berbeza - beza? Pasti tidak bukan. Begitu juga di dalam bidang pemprosesan makanan di Kolej Komuniti Sabak Bernam. Saya boleh jamin, sos cili yang dihasilkan pelajar kami, rasanya tidak pernah berubah jauh biarpun pelajar yang membuatnya berbeza - beza setiap semester. Apa rahsianya? Sila daftar sebagai pelajar Sijil Pemprosesan dan Kawalan Mutu Makanan di Kolej Komuniti Sabak Bernam.

Ini laluan pembelajaran untuk pelajar Sijil Pemprosesan & Kawalan Mutu Makanan ke Politeknik

Apa yang mampu saya banggakan, pelajar saya ada yang menjadi chef, ada yang mempunyai kedai bakeri sendiri, ada yang menjadi senior officer di kilang - kilang ternama serta pasti ramai yang telah melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat ijazah dan lebih tinggi. Hampir 10 tahun berkhidmat, saya nampak perkembangan pelajar saya, dari seseorang yang tidak mempunyai harapan, kini mampu mengubah ekonomi keluarga. Saya tidak risau jika pelajar saya tidak bekerja di mana - mana syarikat ternama, kerana dengan asas pengetahuan yang ada di dalam sijil pemprosesan makanan, mereka mampu menghasilkan produk sendiri. Mereka mampu bekerja dari rumah.

Sehingga kini, masih tersemat ucapan terima kasih dari seorang pelajar saya. Beliau dari keluarga miskin. Apabila tamat pelajaran di kolej, beliau telah di serap bekerja di syarikat yang pernah beliau jalani latihan industri. Asalnya keluarga yang susah, pada ketika itu, beliau mampu membeli kereta, mengubahsuai rumah dan kini keluarganya hidup dengan selesa. Ucapan terima kasih yang diucapkan sudah cukup membuatkan saya senang dan bersemangat untuk mengajar anak bangsa saya menjadi seorang yang berjaya. Bukan sahaja mampu mengubah ekonomi sendiri, malah mampu mengubah ekonomi keluarga. Hingga kini juga, saya masih menerima panggilan untuk tunjuk ajar mereka dalam bidang pemprosesan makanan.

Apa istimewanya Sjil Pemprosesan dan Kawalan Mutu Makanan di Kolej Komuniti Sabak Bernam

a. Kelengkapan makmal yang baik dan peralatan pemprosesan yang hampir setanding dengan industri.
b. Pensyarah - pensyarah yang berpengalaman luas dalam bidang teknologi makanan mencapai usia 10 tahun.
c. Pensyarah - pensyarah yang berkelayakan dan diiktiraf hinggakan terdapat beberapa pensyarah yang mempunyai kelulusan sarjana termasuk saya sendiri.
d. Kurikulum yang mengikut arus perkembangan industri. Malah, jawatankuasa kurikulum kami mempunyai panel dari pihak industri sendiri.
e. Yuran pembelajaran yang sangat rendah, di bawah RM300 setiap semester.
f. Pelajar didedahkan dengan perkembangan teknologi dan sains makanan yang berlaku di sekarang.
g. Pelajar digalakkan melakukan aktiviti keusahawanan dan penyelidikan berskala kecil dan besar sejak di dalam pengajian.
h. Saya juga menjamin, buku rancangan perniagaan yang pelajar hasilkan mampu digunakan terus untuk memohon bantuan perniagaan.
i. Syarat kemasukan juga rendah sahaja, iaitu seorang warga negara Malaysia, lulus Bahasa Melayu SPM, kredit mana - mana 1 subjek dalam SPM (kecuali SPM 2013, perlu lulus subjek Sejarah SPM).
j.Tiada had umur untuk belajar

Berikut ialah antara hasil produk pemprosesan makanan yang dihasilkan oleh pelajar - pelajar saya. Ini baru sikit. Banyak lagi sebenarnya. Hingga tak mampu nak cerita.


Jeli jem buah delima. Saya dah lama tak beli yang di pasaran kerana saya boleh beli hasil jualan pelajar saya. Terjamin hasilnya dari sumber - sumber bekualiti dan setanding jem dari luar negara.

Biskut keju

Fucuk ni, pelajar saya buat

Salah satu hasil pelajar membuat tauhu keras

Laksa beras pun boleh buat sendiri

Peluang pekerjaan juga terbuka luas untuk kesemua pelajar ini. Malah ada bekas pelajar mempunyai income melebihi pendapatan kami. Insya Allah saya akan kemukakan buktinya pada entri - entri akan datang.

Untuk memasuki program ini, anda boleh hunbungi terus Bahagian Hal Ehwal Pelajar atau datang ke Kolej Komuniti Sabak Bernam di talian 03-32163235.

No comments:

Post a Comment