Saturday 11 January 2014

Pengalaman sebagai PJJ (Pasangan Jarak Jauh)

PJJ adalah akronim yang sangat popular di tempat kerja saya. Pengalaman sebagai PJJ sebenarnya adalah situasi yang biasa pada zaman sekarang. Tuntutan tanggungjawab sebagai pekerja ini disebabkan ramai wanita telah berpeluang meningkatkan tahap pendidikan masing - masing. Kebanyakan situasi ini dialami oleh pasangan yang baru bekerja. Tahap ekonomi yang belum mantap menyebabkan kebanyakan isteri terpaksa meneruskan tugas dan bekerja di luar daerah berjauhan dengan pasangan. 



Situasi dan pengalaman ini pernah dialami oleh saya seawal perkahwinan. Suami bertugas di Tawau dan saya di Sabak Bernam. Situasi ini berlanjutan sehingga saya mengandung anak kedua. Di usia kandungan 7 bulan, barulah suami dapat bertukar ke Sabak Bernam. Semasa awal - awal perkahwinan, menghantar suami pulang ke KLIA adalah situasi yang sangat sukar. Maklumlah, kami akan bertemu semula dalam beberapa bulan selepas itu. Mujur teknologi seperti SKYPE dan telefon bimbit membantu hubungan jarak jauh ini.

Pengalaman memandu dengan anak kecil selama beberapa jam, adalah situasi biasa ketika berjauhan dengan suami. Semua urusan seperti menguruskan anak, menghantar anak ke pengasuh, membawa anak ke klinik ketika sakit adalah situasi yang biasa dilakukan ibu - ibu seperti saya. Saya juga melakukan urusan rumahtangga ketika waktu tengah malam atau waktu rehat tengahari seperti membeli barang  dapur dan mengemas rumah. Ini kerana, pada waktu itulah sahaja, kita boleh melakukan semuanya tanpa mengabaikan anak.

Kebanyakan program shopping atau membeli belah dilakukan secara online kerana, saya tidak mampu membazirkan masa yang agak terhad dengan anak. Ketika dalam tempoh itu juga saya masih meneruskan tugas pejabat seperti biasa. Apabila keluar daerah kerana tugas, saya akan membawa anak saya bersama. Saya akan menumpangkan anak di taska harian yang dibayar secara harian. Memang tidak mudah sebenarnya. Hakikat tugas pensyarah bukan sahaja mengajar tetapi perlu juga terlibat dengan mesyuarat di peringkat pusat dan zon. Ahamdulillah, anak saya tidak banyak ragam dan pengasuh juga sangat bertimbang rasa dengan situasi saya. Beliau suami isteri banyak membantu jika saya terpaksa pulang lewat akibat tugas rasmi. 

Kaum keluarga paling memahami situasi saya. Adakalanya, ibu dan abah saya akan melawat kami untuk membantu menjaga cucunya. Sebenarnya kehadiran ibu dan bapa sebenarnya boleh mengurangkan bebanan emosi yang dialami oleh saya. Hujung minggu saya dipenuhi dengan lawatan kaum keluarga ke rumah atau kami yang akan melawat mereka.

Apabila saya mula mengandung, rutin harian menjadi agak berat kerana faktor kesihatan. Namun, saya bersyukur kerana ada teman - teman dan jiran - jiran yang boleh dipercayai untuk membantu. Di samping itu, pada hujung mingu, saya menggaji seorang pelajar saya. Aishah namanya. Pelajar ini bukanlah seorang yang senang, antara faktor saya mengupah dia bekerja. Dia membantu saya menguruskan kerja - kerja rumah atau bermain dengan anak saya. Peranannya sangat penting ketika di awal mengandung kerana morning sickness saya agak teruk ketika itu. Alhamdulillah, dia memang tidak banyak merungut dan sangat membantu.

Syukur Alhamdulillah, suami berjaya juga berpindah ke Sabak Bernam. Sebenarnya, banyak hikmahnya ketika berjauhan dengan suami. Kami lebih mempercayai antara satu sama lain. Kami lebih menghargai masa dan kami lebih berdikari. Apabila, suami tinggal bersama, ketika itu, kandungan saya mula mengalami masalah. Seperti tahu - tahu saja. Syukurlah semasa awal Ramadhan, ketika saya ditahan wad, suami ada di rumah untuk menjaga anak. Jadi saya percaya, setiap perkara yang berlaku disusun Allah dengan cantik.

Memang, kadang kala, apabila berjauhan dengan suami, perasaan cemburu dengan orang lain yang hidup bersama memang ada. Namun, hikmahnya, saya lebih menghargai pasangan kerana ketika inilah, kita dapat melihat 'determination' dan semangatnya untuk membahagiakan satu keluarga. Jadi , pada rakan - rakan di luar sana yang PJJ , jangan sedih - sedih dan merasa terbeban kerana janji Tuhan, Allah memberi ujian pada hambaNya setimpal dan mampu ditanggung oleh hambaNya. Situasi yang saya alami pastinya sama dengan mereka yang PJJ seperti isteri tentera, polis, kelasi laut, dan sebagainya. Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Doalah yang baik - baik untuk keluarga kita setiap hari.

Untuk sebarang komen, perkongsian dan pertanyaan , boleh diajukan kepada saya melalui email zunairahagi@gmail.com

No comments:

Post a Comment