Wednesday 12 February 2014

Kursus pendek penghasilan cendol

Tahun ini, jadual saya seolah - olah padat. Hujung minggu pun penuh dengan mengajar kursus pendek. Secara kebetulan, kebanyakan permintaan kali ini banyak berkisar tentang subjek saya. Hari ini saya berpeluang mengajar kursus pendek penghasilan cendol. Kaedah yang digunakan menggunakan dua kali air panas. Bukan kaedah tradisional yang memerlukan pembuat memasak adunan tepung sehingga betul - betul licin berkilat dan lama.


Kali ini pesertanya datang dari jiran sebelah Kolej Komuniti Sabak Bernam, ahli kariah Masjid. Seramai 20 ++ orang mengambil bahagian. Lelah juga saya mengendalikan pertanyaan dari puan - puan yang sangat berpengalaman ini. Mujur dengan sedikit ilmu, saya mampu menghabiskan kelas dengan baik. Namun , ralat juga kerana, ada 1 kumpulan tidak berjaya menghasilkan cendol dengan baik. Kesian juga, hasilnya menjadi seperti bubur candil. Namun, Alhamdulillah, rakan - rakan yang lain sanggup memberi sedikit hasil mereka kepada rakan - rakan yang cendolnya tidak menjadi. Kesilapan mereka ialah, air yang digunakan untuk membancuh tepung beras tidak betul - betul mendidih. Bancuhan menjadi seperti bancuhan tepung goreng pisang.:)

Sebenarnya, saya banyak juga belajar dari mereka. Tiap kali mengajar pasti ada yang saya belajar. Misalnya, jika air tak cukup panas, bancuhan tepung boleh dimasak dahulu sehingga berlaku proses pengeletinan tepung beras. Kemudian proses boleh diteruskan seperti biasa. Lenguh juga, puan - puan tadi menghabiskan bancuhan 1kg tepung. Biar mereka puas dan saya pasti mereka sangat puas hati. Hanya RM10.00 sahaja, dah dapat ilmu menghasilkan cendol, kemudian boleh bawa balik pula cendol yang dihasilkan. Mungkin aktiviti ahli kariah masjid ini, sangat bagus untuk surirumah yang berdekatan. Sempat juga, saya berpesan, andai ada yang hendak berniaga cendol, maklumkan pada pihak kolej. Kami mahu follow up.

Tugas sebagai pendidik macam ni, saya rasa kena dengan jiwa saya. Selain mengajar pelajar sepenuh masa, saya juga mengajar untuk komuniti. Dah namanya bekerja di Kolej Komuniti. Pernah ada yang bertanya, "cikgu semuanya tahu, tak ada rasa nak berbisnes kah?" Saya hanya mampu senyum meleret. Bukan masanya lagi, kerana saya masih perlu meneruskan tanggungjawab membangunkan bangsa saya dan negara saya. Saya seronok dengan tugas saya. Anda pula bagaimana?

Untuk sebarang komen dan pertanyaan , boleh emelkan kepada zunairahagi@gmail.com

No comments:

Post a Comment