Sunday, 2 February 2014

[MUHASABAH] Pentingkah pulang ke kampung?

Soalan ini sebenarnya acap kali bermain dalam fikiran kita, nak balik ke atau tak balik kampung? Kerja banyak ni. Presentation penting minggu hadapan. Minggu hadapan ada exam final. Ada aktiviti pejabat yang dianjurkan. Wajib hadir katanya. Semuanya seribu satu alasan yang berlegar dalam fikiran kita. Penting ke balik kampung?



Namun, sedarkah kita, berapa kalikah kita mengucapkannya dan menangguhkan aktiviti pulang ke kampung. Beruntung jika saudara saudari masih punya ibu bapa yang masih hidup. Biar tidak pulang ke kampung, alat komunikasi masih menjadi penghubung. Namun , cukupkah? Memadaikah? Bagaimana pula dengan mereka yang sudah tiada orang tua di kampung. Pentingkah pulang ke kampung?

Budaya masyarakat Melayu khususnya, merantau dan pulang ke kampung sebenarnya berlaku sejak sekian lama. Orang Melayu sejak zaman Panglima Awang atau Hang Tuah sekalipun, memang hebat dalam merantau. Namun kesemua tokoh sejarah atau hikayat sekalipun, pasti di akhirnya akan menunjukkan mereka bakal pulang ke kampung. Panglima Awang setelah belayar dengan Ferdinand Megellan akhirnya pulang ke Melaka. Hang Tuah apabila pergi merantau dan berguru akhirnya pulang jua ke Melaka. Namun, kita sang perantau, alahai ke Kuala Lumpur sahaja, masih berkira - kira dan tidak mengambil cakna untuk pulang ke kampung halaman.

Sedarkah kita, orang tua di kampung, perlukan perhatian. Mungkin, sudah lama kita tak bergurau dan bersembang dengan mereka. Biar dengan telefon, orang tua kita, masih mampu menyembunyikan riak wajah, sakit - sakit badan dan sebagainya. Kerana dia pasti, kita akan menjawab, "tak dapat balik mak cuti ni, ada kerja banyak di pejabat" dan pastinya acap kali jugalah kita mengatakannya. Mujur juga, kita masih mampu menelefon mereka. Bagaimana jika ada yang terlupa untuk menghubungi mereka. Sehari, dua hari, seminggu, sebulan atau berbulan?

Pada hemat saya, jika anda masih bujang atau sudah berkeluarga, kerapkanlah diri pulang ke kampung. Biar ibu dan ayah sudah tiada lagi. Sebenarnya, apabila pulang ke kampung halaman, sebenarnya, ia mengingatkan kita asal usul diri, jati diri, budaya bangsa dan tujuan kita merantau. Kadangkala, hidup di bandar, membuatkan kita lupa atau suasana hidup itu tidak mempunyai ruh. Terasa semuanya sangat cepat berlalu. Hinggakan, kita mungkin tidak perasan anak kita semakin membesar dan mereka sebenarnya memerlukan sesuatu untuk berpaut.

Apa salahnya, apabila pulang ke kampung, kita kenalkan anak - anak kita dengan debu kotor tanah sawah, lumpur sungai, bunyi bising ayam bertelur, semua itu pasti mengajar anak - anak kita menghargai alam ciptaan tuhan. Tinggalkan segala gajet elektronik yang belum tentu menjadikan anak kita sebagai manusia. Pulang ke kampung, umpama terapi diri. Memberi ruang rehat dan melepaskan lelah kerja, menjadikan kita manusia semula. Berbual - bual panjang dengan ahli keluarga tanpa gangguan televisyen dan tablet, beramah mesra dengan sanak saudara, bertanya khabar orang tua di kampung. Perhatikan, ibu bapa kita pasti seronok dengan kehadiran kita, biarpun dahulunya dia seorang yang garang. Di usia emas ini, mereka hanya mahu dengar gelak tawa anak cucu di sekeliling mereka, pelukan dan gurauan dengan anak - anak. Pasti, macam - macam dibelinya umpama bekal stok sebulan.

Teringat arwah bapa mertua saya, tiap kali mahu pulang, pasti ada bekal kuih bakar yang sedap untuk saya. Biar baru pulang dari laut (dia seorang nelayan), di tangannya pasti ada bekal kuih bakar itu. Senyuman tuanya seolah menunjukkan dia bahagia dan puas dengan kepulangan anak menantunya biar pun sekejap. Hingga kini, saya sangat merindui saat itu.

Zaman kanak - kanak saya sangat mengujakan mungkin kerana saya anak bandar. Jika saya pulang ke Kedah, saat datuk saya sedang mengerjakan sawah, saya pasti turun ke sawah menaiki 'kebota'. Tok wan juga mengajar saya memancing ikan di kolam, menahan lukah, memikat burung, bermain seruling, mengayam ketupat palas, mengisi pulut ke dalam buluh lemang, menampi beras, bermain wau dan layang - layang serta bermacam lagi yang tidak dapat saya senaraikan. Ayat biasa arwah tok wan ialah "biar wan tunjuk" memang tinggal kenangan. Semua pengalaman di zaman kanak - kanak itu sebenarnya membina apa yang saya ada sekarang. Sebahagiannya mengingatkan saya, asal usul budaya saya, bangsa saya dan agama saya. Sayang sekali, anak - anak saya sudah tidak menikmati apa yang saya alami. Namun, pengalaman pulang ke kampung buat anak - anak pasti memberikan perbezaan dan nilai tambah dalam jiwa mereka. Saya akui, mereka lebih mudah ditegur apabila pulang ke kampung. Kurang meragam dan saya pasti nilai - nilai kemanusiaan itu hidup dalam jiwa mereka.

Nah, kerana itu, pulang ke kampung sangat penting. Biar di kampung sudah kosong tiada ibu dan ayah sekalipun, kita pasti ada orang tua dan sahabat ibu bapa kita yang boleh diziarahi. Janganlah pulang ke kampung, aktivitinya masih sama iaitu menonton tv dan bermain game. Semua itu bakal merencana masa depan anak kita yang mungkin menjadi kurang ajaran dek kerana dia terlebih hormat dengan 'game' dan tv.

Saya pasti masih ramai yang rajin pulang ke kampung, kerana tiap kali musim cuti perayaan, lebuhraya pasti sesak dan tiket penerbangan habis dijual. Jom hargai kampung kita.

Sebarang komen dan pertanyaan boleh diajukan kepada saya. Melalui email zunairahagi@gmail.com.

Untuk  mendapatkan produk Shaklee, boleh hubungi saya melalui email zunairahagi@gmail.com atau membuat pesanan melalui borang pesanan.

No comments:

Post a Comment